Uncategorized

Pembangkang mahu Akta antil0mpat sekali Najib cakap bukan penyelesaian

Akta antilompat parti bukanlah penyelesaian kepada masalah ahli parlimen melompat ke parti lain setelah menang dalam pilihan raya umum (PRU) di bawah tiket parti berbeza, kata Najib Razak.

Secara sinis dia berkata parti yang paling banyak menerima ‘katak politik’ mahu akta antilompat parti dilaksanakan segera, namun undang-undang itu hanya akan menyebabkan banyak masalah buat parti asal, sekiranya ahli parlimen yang mahu melompat tidak dibenarkan berbuat demikian.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Pekan itu, pilihan yang paling baik ialah mengadakan pilihan raya pecat atau ‘recall election’.

“Walaupun parti yang paling banyak menerima lompatan katak politik mahu akta antilompat parti dilaksanakan segera (mungkin bimbang katak akan lompat lagi kot), mengharamkan ahli parlimen dari lompat ke parti lain setelah menang dalam PRU bukan cara penyelesaiannya.

“Ia lebih parah sekiranya ada ahli parlimen yang sudah lebih gemar dengan parti lain tetapi terpaksa berada dalam parti sendiri sebab mereka tidak dibenarkan untuk melompat bawah undang-undang. Lagi banyak masalah yang akan dicetuskan pada parti asal mereka.

“Pada saya, cara yang paling baik ialah melaksanakan recall election ataupun pemilihan semula – seperti diamalkan oleh beberapa negara komanwel lain di mana ahli parti yang mahu tukar parti atau dipecat parti mereka akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan pilihan raya kecil akan dilaksanakan bagi kawasan parlimen tersebut.

“Cara ini lebih adil pada parti asal dan bagi pengundi,” katanya di Facebook hari ini.

Meskipun tidak menyebut mana-mana parti, Najib dipercayai merujuk parti Bersatu yang banyak menerima ahli Umno yang bertukar haluan setelah menang di bawah tiket Umno dalam PRU lalu.

Pilihan raya pecat adalah sistem yang membolehkan pengundi di kawasan pilihan raya memecat wakil rakyat mereka sebelum tamat penggal perkhidmatan.

Sejak Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi perdana menteri, gesaan semakin kencang daripada pembangkang agar akta antilompat parti – yang sebelum ini diperjuangkan mereka – dapat diwujudkan.

Ia di tengah perbahasan sama ada pembangkang wajar memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan dengan pentadbiran baru pimpinan Ismail.

Cadangan pilihan raya pecat beberapa kali timbul di sebalik kelantangan gesaan untuk akta antilompat parti, antaranya penganalisis politik Prof Wong Chin Huat yang melihat pemecatan ahli parlimen yang lompat parti lebih wajar ditentukan oleh pengundi kawasan berkenaan.

Usul Wong, sekiranya pengundi tidak berpuas hati dengan lompat parti di kawasan mereka, mereka boleh membuat petisyen penyingkiran terhadap ahli parlimen terbabit sebelum membuat pilihan raya semula tanpa harus menunggu habis penggal.

Di Malaysia, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang meluluskan akta antilompat parti, yang mewajibkan wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka jika melompat parti.

Dalam pada itu ada netizan bersetuju dengan cadangan Najib, malah ada antara mereka mencadangkan akta baru bagi mana-mana MP yang di tvduh dan terpalit dengan kes-kes mahkhamah

Undi 18, akta antilompat parti – PH cadang Ismail laksana 4 langkah pembaharuan

Majlis Presiden PH berpandangan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob wajar memberikan pertimbangan terhadap reformasi perundangan, antaranya dengan melaksanakan Undi 18 dan undang-undang anti lompat parti.

Dalam kenyataan media hari ini, Majlis Presiden PH menggariskan empat dasar dan langkah reformasi serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan pentadbiran baru.

“Sejak tahun lalu PH telah menggariskan dasar dan langkah reformasi serta penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan rakyat negara daripada wabak Covid-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.

“Memandangkan kerajaan terdahulu yang dipimpin Muhyiddin Yassin, gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19, dan memandangkan jemaah menteri yang baru bakal dibentuk, PH berpandangan perdana menteri wajar memberi pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan ini demi rakyat dan negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Selain reformasi perundangan, gabungan pembangkang itu turut menggesa reformasi dalam aspek berikut:

Penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara dengan memastikan program saringan ujian awam ”FTTIS+V” (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.

Reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan, serta program moratorium pinjaman bank tanpa faedah.

Reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen, serta mengiktiraf peranan pembangkang dengan benar-benar dilibatkan dalam usaha kerajaan.

Untuk rekod, dalam ucapan rasmi pertama sebagai perdana menteri pada 22 Ogos lalu, Ismail Sabri menawarkan pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Kata Ismail Sabri, ia selaras dengan titah Agong yang mahu semua pihak melupakan perbezaan demi demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *