Uncategorized

Ku Li minta pindah kerusi, sekali Annuar Musa cakap sedikit “aneh”.

Anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa, menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menukar tempat duduk di Parlimen sebagai sedikit “aneh”.

Hal itu kerana, kata Annuar, langkah tersebut diambil ahli parlimen Gua Musang terbabit secara bersendirian ketika ahli parlimen lain dari BN tiada masalah dengan susunan tempat duduk sekarang.

Pun begitu, kata Annuar, dia menghormati pendirian Tengku Razaleigh kerana ia adalah hak ahli politik veteran berkenaan.

“Masing-masing ada hak, tapi lazimnya kita ahli parlimen kepada sesebuah parti, kita buat serentak bersama parti. Terus-terang saya rasa rasa anehlah sikit.

“Presiden tak minta pindah, naib presiden tak minta pindah… dia seorang minta pindah, tapi hak dia, kita kena hormatlah,” katanya pada sidang media ketika hadir ke program Vaksinasi Oghe Parlimen Terre di Kompleks Yayasan Kemiskinan di Padang Kala, Kota Bharu, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu yang memohon kepada speaker Dewan Rakyat agar tempat duduk dipindahkan susulan tidak lagi penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tambah Annuar, dia berpendapat ahli Parlimen Umno sebaik-baiknya perlu mengikut keputusan bersama sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Sebab itu ahli-ahli parlimen mengadakan perbincangan hari itu dan buat ketetapan bersama menyokong kerajaan PN.

“Parlimen ini kecil saja, duduk penjuru mana pun tak apa, kalau duduk dekat tapi tak undi pun ada juga. Duduk dekat tapi tak datang parlimen pun ada juga. Jadi duduk mana-mana pun tak apalah,” katanya.

Duduk di zon merah

Sementara itu ditanya reaksinya berhubung penangguhan sidang khas parlimen yang sepatutnya disambungesok, Annuar berkata, seluruh negara kini tertakluk kepada undang-undang dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Malah kata menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, sidang khas yang berlangsung minggu dibuat selepas speaker meminta kebenaran khas untuk dikecualikan daripada undang-undang.

“Itu pun satu perkara yang luar biasa – kita terpaksa guna kaedah itu dan ketua pengarah kesihatan beri kelonggaran, tetapi itulah, kita langgar juga.

“Contohnya pilihan pertama tiada sidang langsung, pilihan kedua sidang pendek tapi akhirnya masing-masing mendesak nak sambung.

“Kita ini pembuat undang-undang tapi kita langgar juga, kadang-kadang dengan tak sengaja. Jadi dibuat hingga jam 5.30 petang. Tetapi apa berlaku kes positif terus bertambah,” katanya.

Justeru menurut Annuar tidak dapat dipastikan sejauh mana parlimen selamat untuk bersidang apabila wakil-wakil rakyat datang dari seluruh negara dan terdedah kepada pelbagai risiko.

“Ada yang duduk di kawasan zon merah, kemungkinan jangkitan tinggi, kemudian kita balik ke kawasan maka kluster parlimen akan menyumbang kepada penularan lebih besar.

“Ini tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat penilaian. KKM pastikan tiada sidang sehingga parlimen jadi zon hijau.

“Kita harus faham sidang khas ini agendanya ditentukan perdana menteri, bersidang atas permintaan perdana menteri kepada speaker,” jelas Annuar.

Ku Li minta pindah kerusi keluar dari blok kerajaan

Terdahulu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah,  mengemukakan permohonan agar tempat duduknya dialihkan ke blok bukan penyokong kerajaan.

Alasan diberi ahli politik veteran itu, dia tidak mahu dilihat menjadi penyokong kepada kepada “kerajaan yang gagal”.

Justeru Tengku Razaleigh yang mewakili kerusi Gua Musang sejak 1974 berkata, untuk tujuan itu dia megemuakakan surat permohonan kepada parlimen agar tempat duduk dipindahkan.

Surat itu dialamatkan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

“Dengan hormatnya suka saya memaklumkan bahawa saya tidak ingin terus berada di kerusi yang telah disediakan untuk saya dalam Dewan Rakyat bersama-sama dengan anggota Dewan Rakyat lain dalam kumpulan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.

“Dengan makluman ini saya memohon mendapat persetujuan dan kerjasama Tuan Yang Dipertua memindahkan tempat duduk saya ke suatu kerusi dalam Dewan Rakyat berhampiran dengan kumpulan (block) bebas yang tidak menyokong kerajaan sekarang ini.

“Dari awal lagi saya tidak pernah menyokong atau bersama dengan dengan kerajaan yang ditubuh yang mengguna nama kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam surat tersebut.

Pada 23 Mac lalu dalam wawancara bersama portal berita Malaysiapost, Tengku Razaleigh – ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li – menjelaskan dia tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Katanya langkah tersebut dibuat kerana dia menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh berkata tindakan yang diambilnya sekarang bersesuaian dengan semangat perjuangan Umno dan BN.

Pun begitu, katanya, dia tidak pasti sama ada ahli parlimen Umno yang lain akan mengambil langkah sama seperti dilakukannya.

“Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini, saya dengan suka hati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan BN/Umno terutama sekali pengundi saya, ahli-ahli Umno dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataannya hari ini, Azhar mengesahkan pejabatnya menerima permohonan Tengku Razaleigh.

Justeru kata Azhar setiausaha Dewan Rakyat diarah untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *