Uncategorized

PM akhirnya bagitahu bila PRU-15 akan diadakan

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat akujanji untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai 2022, bergantung kepada situasi pandemik.

Menurut Muhyiddin, cadangan itu diusul bagi membolehkan kerajaan sedia ada terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,” ujar beliau dalam Perutusan Khas pada Jumaat petang.

Muhyiddin berkata dia akan menjemput semua pemimpin parti politik di luar pimpinan Perikatan Nasional untuk membincangkan cadangan kerjasama bi-partisan ini pada minggu depan.

Malah, beliau juga akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat sekiranya cadangan kerjasama itu dipersetujui.

“Saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan.

“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini.

“Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” ujar beliau lagi.

Ketua Pembangkang dapat saraan, kemudahan setara menteri kanan! Ini 7 cadangan persefahaman rentas parti jika usul undi percaya diluluskan

TAN Sri Muhyiddin Yassin membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadap perdana menteri diluluskan.

Menerusi Perutusan Khas pada Jumaat petang, Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangan itu termasuklah Ketua Pembangkang yang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.

Berikut merupakan tujuh cadangan tersebut:

1) Peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Baru- baru ini kerajaan telah mengumumkan pemberian peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan.

Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.

Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara pro-rata mengikut jumlah bulan yang berbaki.

2) Bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik Covid-19, Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang telah diutarakan. Antaranya, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.

Peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes Covid-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate. Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan “Whole of Nation”.

Kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021.

Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan.Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang Covid-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada PKS

3) Sekiranya Kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

4) Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang. Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang. Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

5) Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Muhyiddin berharap dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.

6) Rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen. Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

7) Sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *