Uncategorized

Lama tak muncul, rupanya ini aktiviti Anuar Zain buat ramai tersentuh

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Anuar Zain menjadi bualan selepas dilihat mengikut jejak langkah beberapa selebriti lelaki tanah air yang lain apabila dilihat mula mendalami ilmu agama dengan cara menyertai jemaah tabligh.

Dalam sebuah video TikTok yang dimuat naik dan turut dikongsi dalam Facebook, difahamkan pelantun lagu Sedetik Lebih itu sedang menyertai jemaah tabligh bersama pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad.

Menerusi video tersebut, Anuar, 51, yang memakai jubah berona biru dan berkopiah dilihat sedang menuang air teh tarik ke dalam beberapa gelas sambil menyanyikan lagu hitnya, Lelaki Ini.

Difahamkan, lagu yang dinyanyikan tersebut merupakan permintaan Nabil yang ketika itu sedang bersarapan pagi bersama jemaah tabligh lain di sebuah masjid dipercayai terletak di Selangor.

Sementara itu, pengurus Anuar, Nana Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia sudah agak lama tidak menghubungi penyanyi tersebut.

Katanya, video yang berlegar-legar dalam laman sosial sejak pagi tadi adalah benar dan meminta peminat mendoakan yang baik-baik untuk Anuar.

“Saya dah seminggu tak menghubungi dia tapi memang benar dia sedang ikut jemaah tabligh sekarang ini.

“Beri dia masa. Dia nak belajar dan mendalami agama bersama rakan-rakan. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakannya,” katanya.

Menjengah ruangan komen dalam media sosial, rata-rata netizen terkejut dengan tindakan pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu selain menyifatkan hidayah Allah milik semua tanpa mengira siapa.

Berikut adalah fakta menarik mengenai Jemaah Tabligh yang boleh diteladani:

‘Keluar’ atau ‘khuruj’ selama 3 hari dalam sebulan, 40 hari dalam setahun dan 4 bulan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup untuk belajar ‘mujahadah’ atau berkorban harta, masa dan diri dalam usaha dakwah

Ungkapan istimewa mereka untuk ‘belajar usaha atas iman’ ataupun untuk betulkan percakapan adalah dengan sentiasa membesarkan Allah dengan mengungkapkan kata-kata, “Mahkluk tiada kuasa, Allah Maha Kuasa,” serta “Dunia sementara, akhirat selamanya”

Membuat ziarah dari rumah ke rumah untuk bertemu dengan setiap orang Islam di kawasan masing-masing ataupun di kawasan sekitar masjid ketika ‘keluar’ tanpa mengira latar belakang siapapun yang dijumpai
‘Keluar’ sehingga ke luar negara dan difahamkan tiada sebuah negarapun yang tidak pernah dijejaki oleh JT

Melazimkan diri mereka untuk ‘iktikaf’ ataupun berdiam di masjid termasuk tidur, dengan menghidupkan adab-adab sunnah iktikaf

Menghidupkan ‘ibu’ sunnah iaitu sunnah dakwah dan belajar menghidupkan keseluruhan sunnah secara 24 jam dalam kehidupan sepanjang masa

Menghidupkan amalan masjid sepanjang masa terutamanya solat berjemaah lima waktu

Menggunakan duit sendiri dan tidak dibenarkan meminta-minta daripada sesiapa untuk ‘keluar’ dan tidak ‘mengharapkan makhluk’ ataupun bermaksud tidak mengharapkan bantuan sesiapa

Tidak dibenarkan mengutip derma untuk pergerakan Tabligh dan diri sendiri bahkan di markas Sri Petaling juga tidak mempunyai sebarang tabung

Kaedah dakwah JT adalah dengan ‘mengajak’ manusia kepada Allah dengan penuh kasih sayang dengan memulakannya agar mereka mendekati masjid dan bersolat jemaah lima waktu

Sesiapa sahaja ke markas mereka di Sri Petaling pada setiap malam Sabtu akan dapat melihat pelbagai terjemahan bahasa seperti Bahasa Inggeris, Urdu, Bangladesh, India termasuklah bahasa isyarat di setiap sudut masjid apabila ada tazkirah agama ataupun dikenali di kalangan JT sebagai ‘bayan’ yang disampaikan oleh ulamak mereka

JT tidak meminggirkan sesiapa dalam usaha dakwah mereka termasuklah golongan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mampu mendengar, bisu dan buta serta mereka juga akan mengikut tertib untuk keluar dakwah 3 dan 40 hari serta 4 bulan yang akan ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang penterjemah dalam setiap jemaah

Ketua jemaah dikenali sebagai ‘Amir’ dan bertukar-tukar sepanjang masa tanpa ada yang tetap dan tidak menghairankan sekiranya ketika mereka keluar, kita akan dapati jemaahnya yang terdiri daripada golongan berpengaruh seperti ahli akademik ataupun cerdik pandai seperti Profesor ataupun pensyarah namun mereka sangat mentaati Amir yang dilantik dari kalangan mereka walaupun beliau adalah seorang pemandu teksi ataupun hanya seorang pengawal keselamatan

Menggunakan sistem ‘Syura’ dan mempunyai beberapa orang Syura setiap negara di seluruh dunia yang akan mentadbir seluruh usaha dakwah yang berpaksikan masjid di setiap tempat dengan menggunakan had kawasan yang dipanggil ‘mohalla’ iaitu mewakili sebuah masjid atau surau dan ‘halaqah’ iaitu mewakili satu kawasan yang lebih besar seperti kawasan Kepong yang mempunyai beberapa puluh buah masjid dan surau

Seluruh ‘ijtimak’ ataupun perhimpunan JT bersama orang ramai yang biasanya dihadiri oleh puluhan ribu orang akan dilaksanakan 100 peratus oleh ahli JT sendiri termasuklah mendapatkan kepakaran untuk khidmat memasak, keselamatan, menjaga hal ehwal air, bilik mandi dan tandas termasuk kebersihan dan menjaga trafik sehinggakan membina khemah dan memasang peralatan juga didirikan oleh JT sendiri melalui khidmat gotong-royong sesama mereka

Ijtima’ terbesar mereka diadakan di Tongi, Bangladesh setiap awal tahun dan dihadiri oleh jutaan manusia dari seluruh dunia namun apa yang menarik ijtima’ tersebut hanya melibatkan kaum lelaki dan dikatakan perhimpunan kedua terbesar selepas ibadah Haji

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *