Uncategorized

“Saya sendiri pun beratur apabila ke masjid di Putrajaya” – VIP p0tong que, Timb Menteri Agama mula bersuara

Pihak pengurusan Majid Putra di Putrajaya hari ini memohon maaf atas “kekhilafan” yang berlaku ketika mereka mengendalikan kemasukan jemaah untuk solat Jumaat semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan Masjid Putra hari ini mereka berkata, pihak pentadbiran akan berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah “daripada pelbagai kedudukan”.

Katanya ia adalah langkah untuk memelihara nama baik institusi masjid.

“Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran Masjid Putra akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

“Justeru kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi,” katanya dalam kenyataan.

Ia turut dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad pagi ini.

Semalam tular satu klip video pendek menunjukkan orang ramai berkumpul di depan pintu pagar Masjid Putra untuk mendapatkan tempat bagi melaksanakan solat Jumaat di pusat pentadbiran negara berkenaan.

Ketika mereka masih berharap, kelihatan seorang lelaki keluar dari sebuah kenderaan mewah masuk ke masjid berkenaan diiringi dua lelaki dipercayai pengawal keselamatannya.

Ia menyentuh hati orang ramai yang turut berasa sedih kerana beranggapan kumpulan orang awam terbabit tidak mendapat layanan yang sepatutnya walaupun mereka hanya mahu masuk ke masjid.

Untuk rekod ketika ini prosedur operasi standard (SOP) untuk solat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan masih dikekalkan di sebalik peralihan status Lembah Klang dari fasa satu kepada fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Pentadbiran Masjid Putra berkata kehadiran jemaah di situ – sama ada untuk solat fardu lima waktu atau solat Jumaat – adalah tertakluk kepada garis panduan dan ketetapan SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Untuk solat Jumaat, katanya, kapasiti jemaah di Masjid Putra ditetapkan seramai 300 orang.

“Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan bagi memudahkan pengurusan memastikan jumlah kehadiran bertepatan dengan kuota yang ditetapkan,” katanya.

Tidak dapat dinafikan, tambahnya, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran jemaah solat Jumaat melebihi kapasiti yang ditetapkan malah kedatangan itu bermula seawal jam 11 pagi.

Apabila kapasiti mencukupi, pihak pengurusan akan menutup pintu pagar utama menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.

“Pihak masjid telah memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut,” katanya.

Masjid Putra juga, kata kenyataan tersebut sedia menerima sebarang cadangan dan maklum balas daripada orang ramai yang boleh disalurkan terus kepada pihak pengurusan.

Tiada pilih kasih bagi jemaah ke masjid

Kota Bharu: Tiada mana-mana golongan diberi kelebihan untuk memasuki masjid bagi bersolat jemaah, sebaliknya semua pihak dilayan sama rata dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan juga tidak mengamalkan pilih kasih, malah tidak ada juga golongan atasan atau ‘kayangan’ yang mendapat kelebihan untuk ke masjid.

Katanya, semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan akur peraturan yang ditetapkan termasuk dalam soal had jemaah.

“Saya sendiri pun beratur apabila ke masjid di Putrajaya dan ada tempat yang perlu kita patuhi seperti mana orang ramai.

“Yang paling penting (bagi jemaah) yang hendak ke masjid, perlu (datang) awal untuk mengambil tempat yang sesuai,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan dan bakul makanan kepada 25 pengayuh beca sempena Program Yadim Peduli: Musaadah Yadim-Bank Islam di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.

Ahmad Marzuk berkata, selain memastikan SOP dipatuhi, pihaknya juga mengingatkan pengurusan masjid supaya mempunyai budi bicara dalam menentukan kehadiran jemaah dan tidak hanya melayani kumpulan tertentu.

Menurutnya, SOP kehadiran ke masjid diperbaharui mengikut perkembangan Pelan Pemulihan Negara dan penting untuk negara mencapai imuniti kelompok dan mengurangkan risiko penularan Covid-19 sebelum membenarkan lebih ramai orang ke masjid.

Terdahulu, beliau mengulas mengenai video tular di media sosial sejak semalam, yang menunjukkan sekumpulan orang didakwa golongan kenamaan memasuki masjid tanpa menunggu giliran sedangkan jemaah lain beratur di pintu masuk masjid.

Video itu mengundang pelbagai reaksi masyarakat sehingga ada yang mempersoalkan wujudkan elemen perbezaan dua darjat.

Mengulas perkara itu, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya sudah mengenal pasti masjid yang terbabit dan masalah sebenar yang berlaku serta minta pihak berkenaan mengemukakan penjelasan.

“Insya Allah dalam sehari dua lagi perkara ini akan diselesaikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *