Amalan

” Tak malu ke meniaga tepi jalan sekarang” Peniaga air terkedu dapat mesej kawan sekolah di Instagram

PANDEMIK Covid-19 yang melanda sejak lebih setahun lalu banyak mengubah kehidupan rakyat kita.

Selain hidup dalam norma baharu, ada sebilangan individu mengalami perubahan dalam kerjaya mereka.

Begitu juga dengan perunding kewangan berusia 24 tahun ini apabila dia diberi cuti tanpa gaji sejak empat bulan lalu.

Enggan bersedih, Shafeyy Azmi sebaliknya tampil dengan alternatif lain untuk menampung hidup dengan menjalankan perniagaan kopi Vietnam di sebuah gerai di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Saya mula berniaga sejak Julai lalu. Sekarang pandemik Covid-19, kerja pun macam tak ada. Jadi saya pilih berniaga untuk tambah pendapatan.

“Saya sebenarnya bekerja sebagai consultant di sebuah bank dan sudah hampir empat bulan cuti tanpa gaji. Dalam keadaan sekarang, nak cari client pun susah, sebab itu saya pilih untuk berniaga.

“Saya berniaga air kerana ia tak serumit berniaga makanan. Saya juga ada sedikit pengalaman berniaga, dulu jadi dropship produk wajah,” ujar si bujang yang mesra disapa Shaffey.

Mesej yang diterima Shafeyy menerusi laman Instagram miliknya.

Shafeyy mula berniaga pada Julai lalu.

Bercerita lanjut kepada mStar, dia mengakui turut berhadapan pelbagai cabaran berniaga, namun tetap kuat demi mencari pendapatan untuk diri dan keluarga.

“Kita fikir diri kita, bukan orang lain. Sebab ada komitmen nak dilunaskan tiap bulan, saya tak fikir mengenai kesusahan berniaga. Tak fikir sangat, tapi saya buat saja.

Sejujurnya awal berniaga dulu ada rasa malu, tapi lama-lama saya jadi seronok.

“Penerimaan juga sangat baik, Alhamdulillah. Cuma biasalah bila berniaga gerai tepi jalan, kadang-kadang hujan. Ada pasang surutnya.

“Mak ayah juga menjadi kekuatan saya. Mereka banyak bagi dorongan kepada saya. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada pelanggan yang sokong bisnes saya.

“Ada juga yang kenal saya, mereka singgah membeli, bersembang dan bagi kata-kata semangat,” ujarnya yang menetap di Kajang.

Disebalik sokongan yang diterima, ada juga insan yang mempersoalkan pilihan Shafeyy untuk berniaga gerai minuman di tepi jalan yang diusahakannya dengan seorang lagi rakan niaga.

Shafeyy (kiri) mengusahakan gerai itu bersama seorang rakan kongsi.

Dedah Shafeyy, dia menerima mesej di Instagram daripada seorang individu yang bertanya apakah dia tidak malu berniaga di tepi jalan?

“Kau bukan kerja bagus ke? Tak malu ke berniaga tepi jalan sekarang,” tulis individu itu.

Menurut Shafeyy, dia tak sangka akan menerima mesej berkenaan, namun menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk dia meneruskan bisnes.

“Tak sangka ada orang perhatikan kita. Yang saya tahu, dia dulu satu sekolah dengan saya. Saya terkejut dan agak kecil hati. Tapi saya tak kisah, sebab dia tiada di tempat saya.

“Saya cuma reply dia dan maklumkan bahawa rezeki itu ada di mana-mana. Saya ambil mesej itu sebagai satu pembakar semangat. Nak marah tak boleh, saya diam saja.

“Sejujurnya awal berniaga dulu ada rasa malu, tapi lama-lama saya jadi seronok. Saya kena kuat untuk diri sendiri,” ujarnya lagi.

sumber: mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *