Entertainment

“Tgh bermain ‘keyboard’..Kami terus terpa ke arahnya apabila tiba-tiba papa terdiam”-Anak kenang saat2 terakhir arwah di hadapan keluarga

IPOH: Pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58, sempat membuat persembahan di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River pada Ahad.
Anaknya, Mohd Khalid Amen Mohamad, 25, berkata, bapanya yang bermain ‘keyboard’ sedang memainkan lagu “Apokalips” di hadapan ahli keluarganya.

“Kami terus terpa ke arahnya apabila tiba-tiba papa terdiam. Dia tidak mengadu sakit apa-apa pun ketika itu.

“Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Papa memang ada sakit jantung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini pada Ahad.

Menurutnya, Allahyarham sepatutnya akan memulakan penggambaran untuk telemovie bertajuk “Kampung Pisang Berbuah Dua Kali” minggu hadapan.

“Masih mengekalkan pelakon yang sama papa sudah ambil beberapa ‘speed’ untuk siapkannya.

“Papa bercadang untuk memulakan penggambaran hujung bulan ini tetapi tidak sempat,” katanya.

Kediaman Allahyarham Mamat Khalid di Ipoh mula didatangi kenalan dan beberapa rakan artis. -Twitter Hasimi Muhamad

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Ahad.

Allahyarham juga merupakan adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh.

Mamat menjadi pengarah filem buat kali pertama menerusi filem komedi “Lang Buana” yang dibintangi oleh kumpulan Senario.

Minatnya terhadap muzik rock mengilhamkan beliau untuk menulis dan mengarah filem Rock pada tahun 2005 seterusnya menghasil francais filem Kampong Pisang yang menambat hati peminat filem tanah air.

Antara karya dari Mamat Khalid yang terkenal termasuklah Pinang Durian, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Abang We. Beliau pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem Pinang Durian. Beliau juga pernah menjadi penterjemah skrip untuk siri animasi Kampung Boy karya abangnya, Lat.

*Berita asal di Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *