Amalan

Isu hina b4nduan cuci kereta: Jabatan penjara bagi 6 penjelasan

Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia mengambil maklum mengenai gambar penghuni penjara sedang mencuci kenderaan seorang anggota penjara yang tular.

Menerusi satu kenyataan sebagai maklum balas isu itu, Jabatan Penjara Malaysia memberikan enam penjelasan untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Pertama, menurut kenyataan itu, perkhidmatan mencuci kenderaan dibuka kepada orang awam yang hendak menggunakan perkhidmatan itu dengan kadar harga bayaran berpatutan dan perkhidmatan berkualiti.

Kedua, katanya, penghuni penjara yang terbabit dalam gambar tular sudah dilatih dan diberi kemahiran dalam program pemulihan luar penjara yang dikenali sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP).

“Ketiga, setiap penghuni menerima upah atau gaji hasil daripada pekerjaan yang dilakukan. Keempat, program BKLP membabitkan banduan yang sudah menjalani saringan ujian fizikal dan mental tertentu sehingga layak diberi pelepasan untuk menjalani BKLP dengan pemantauan anggota penjara.

“Penjelasan kelima, kebanyakan institusi menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan. Penjelasan keenam, masyarakat komuniti setempat yang berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan dialu-alukan untuk berhubung dengan penjara berdekatan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan menandakan sokongan masyarakat dan komuniti setempat terhadap program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan peluang pekerjaan dan kerjaya kepada penghuni apabila dibebaskan.

“Maklumat institusi boleh didapati di laman sesawang Jabatan Penjara Malaysia www.prison.gov.my,” katanya.

Terdahulu, warganet semalam menyerang tindakan seorang penjawat awam yang dikatakan menyiarkan gambar dalam Facebook (FB) mengenai seorang banduan mencuci kereta miliknya.

Menerusi status di media sosial itu, pegawai penjara berkenaan didakwa menyuruh banduan berkenaan membuat sesuatu untuk kepentingan peribadinya.

“Banduan boleh basuh, buat apa basuh sendiri,” tulisnya di ruangan keterangan gambar FB yang disifatkan sebagai penghinaan oleh warganet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *