Anwar Beritahu Sebab Dia Lantik Zahid Jadi TPM. Tapi Ayat Dia Guna Buat Ramai Pegundi Susah Nak Hadam

SEMUA pihak diminta menghormati proses perundangan yang dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga mahkamah membuat keputusan.

Demikian respons Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berhubung kritikan apabila melantik Ahmad Zahid sebagai timbalannya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Itu hak mereka pertikaikan. Tapi yang pertikaikan tu siapa dan alasan apa?

“Dia (Ahmad Zahid) didakwa, belum ada hukuman dan proses itu kita harus hormati.

“Kebetulan juga dia adalah Presiden Umno dan Pengerusi BN. Dalam Kerajaan Perpaduan ini saya ambil kita semua faktor itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pada Isnin.

Sebelum ini Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata barisan Jemaah menteri yang menganggotai pentadbiran Anwar sebagai Kabinet ‘kleptokrat’ yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat.

Ujar Muhyiddin, sesuatu yang cukup mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tidak melatah dengan kritikan itu, Anwar bagaimanapun mempertikaikan kewajaran Muhyiddin bersuara tentang isu rasuah.

“Tapi yang saya musykil, orang yang jerit soal rasuah itu harus bersih. Dia tak boleh jerit tapi ambil projelk ratus-ratus juta.

“Sebab itu bila dicabar masa kempen dulu, saya kata sama-sama kita isytihar harta.

“Saya nak juga orang lain termasuk Pengerusi PN supaya isytihar harta dia sama ada dalam negara, Australia dan negara lain… tapi tiada jawapan,” katanya.

Puisi Hassan untuk siapa…

Luahan hati Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam bentuk puisi yang ditujukan kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH), menimbulkan tanda tanya.

Ia berikutan bait-bait puisi nukilannya itu menyatakan PKR dan PH seolah-olah menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa.

Dalam puisi bertajuk ‘Ku Simpan Risalah Reformasi Di Dalam Peti’ yang mempunyai 16 rangkap itu, Hassan meluahkan kekecewaan dengan perkembangan politik terkini yang dipercayai merujuk kepada PKR dan PH yang sanggup membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau secara tersirat, menyatakan bagaimana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberikan jaminan kepada pengundi bahawa beliau tidak akan sesekali menggadai prinsip demi kuasa.

“Maka, aku pun percaya, lalu aku kumandangkan suara keyakinanku ke setiap penjuru tanahair tercinta ini, ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah ke tanah datar aku berbicara.

“Bahawa hidup ini hanya sekali, maka marilah kita rakyat marhaen, warga bawahan rakyat jelata, demi keadilan kita bersama, aku seru kita bawa perubahan hakiki yang kita panggil reformasi,” tulisnya dalam puisi yang dimuat naik dalam akaun Facebook, hari ini.

PUISI yang dimuatnaik di Facebook Hassan Abdul Karim. FOTO Facebook.

Dalam pada itu, Hassan turut menyatakan perasaan malunya apabila terpaksa membuat keputusan menyimpan semua ucapan dan tulisannya yang mempromosikan reformasi, slogan politik yang sinonim dengan PKR.

“Kini aku malu pada diri sendiri, aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi, separuh jiwaku telah mati, aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini,” luahnya.

Hassan sebelum ini adalah wakil rakyat PKR yang lantang dan konsisten tidak bersetuju kluster mahkamah dilantik dalam Kabinet kerajaan baharu.

kredit: sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *