PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) didakwa menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dengan majoriti 638 undi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam Facebook beliau sebentar tadi.
Menerusi keputusan tidak rasmi, BN menang 8,007 undi manakala PN pula 7,439 undi.
Kerusi DUN Tioman menyaksikan saingan lime penjuru membabitkan Johari, Idayu, Osman A Bakar (PEJUANG), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan calon BEBAS, Sulaiman Bakar.
Pengundian DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.-UTUSAN

Terdahulu Nama calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih tertera di kertas undi walaupun dilaporkan calon itu memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN).
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, Datuk Zamree Hamli, berkata status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan calon ditutup walau apa pun pengumuman dibuat pihak parti bertanding.
Beliau berkata, Mohd Fadzli daripada Parti Amanah Nasional (AMANAH) iaitu komponen dalam PH, juga boleh terus berkempen dan pengundi juga masih boleh memberi undi kepada calon terbabit.
“SPR cuma menyediakan gelanggang untuk calon bertanding. Keputusan mereka untuk beri laluan itu atas dasar politik mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini berhubung kenyataan AMANAH yang bersetuju memberikan laluan kepada calon BN dalam saingan DUN Tioman, mengambil kira perkembangan BN dan PH membentuk Kerajaan Pahang.