PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary agar mengurangkan tindakan memonopoli beras dalam negara dengan menyalurkan peruntukan RM60 juta kepada pesawah miskin bukanlah untuk merobohkan empayar beliau.
Sebaliknya, Perdana Menteri menjelaskan, usaha itu adalah untuk menjaga kepentingan dan pesawah miskin di negara ini.
Justeru beliau berharap isu tersebut tidak wajar dipolitikkan.
“Saya akan berunding semula dengan Kementerian Kewangan bagaimana Padiberas Nasional Bhd (Bernas) boleh memberi jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.
“Apa yang menjadi masalah sangat ini di negara kita? Apa yang nak dipolitikkan?
“Saya tak faham mengapa ini menjadi masalah. Sudah berpuluh tahun dah Bernas ini, ini kali pertama saya kata enough,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Anwar hanya berani menegur Syed Mokhtar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain kerana beliau Melayu dan mudah dibuli.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, langkah yang diambilnya bersama Kementerian Kewangan adalah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada golongan pesawah miskin termasuk di Kedah.
Beliau turut menjelaskan, Syed Mokhtar turut bersetuju dengan pendekatan itu yang membawa faedah yang lebih baik kepada pesawah miskin.
“Saya ucap terima kasih kepada dia tetapi saya kata untuk menjamin masa depan pesawah miskin saya ambil langkah untuk berunding dengan dia dan cuba bantu. Saya tidak ambil kelulusan tanpa berunding. Saya kenal dia,” tambahnya.
Berikut pandangan tajam dari bekas MB Kedah mengenai isu melibatkan pesawah

” Lagu ni Bang Non…
“Petani sawah padi miskin bukan kerana syarikat-syarikat konglamerat tidak membantu mereka memberi wang 10 juta atau 50 juta. Mereka miskin kerana kitaran penghasilan padi dan industri padi telah dikawal oleh kartel-kartel besar sejak puluhan tahun lamanya.
Malah sebelum wujudnya Bernas dan LPN pun petani sudah miskin. Sejak sistem padi kunca mula dikenakan oleh pemborong dan pengilang padi, kemiskinan pesawah padi telahpun direncana supaya tidak akan berakhir.
Lama sebelum wujudnya MADA pada 1973, pesawah padi telahpun miskin. Jeha dan Lahuma, adalah watak sebenar keluarga petani melayu miskin dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, dan kemiskinan Jeha dan Lahuma lah yang mendorong ditubuhkan MADA.
Setelah sekian bilion ringgit bantuan dan subsidi diturunkan melalui agensi-agensi di rancangan penanaman padi, petani kekal miskin, laba dan manisnya telah pergi kepada pihak lain.
Segala sudut dalam industri padi, daripada input benih, baja, racun, mesin dalam proses penanaman sehinggalah kepada pemasaran, pengilangan, dan pengurusan skim bantuan – ada pihak yang telah mengawalnya sejak puluhan tahun dan merekalah pihak yang paling beruntung. Mereka inilah sebenarnya kartel padi.
Kartel padi telah membelit sistem, kaedah dan proses dalam industri penanaman padi dengan pelbagai pendekatan. Dari atas sampai bawah, dari benih subsidi padi sampai ke timbangan dan potong basah di kilang, dari traktor, jetuai hinggalah kepada lori, dari input baja, racun, kuota benih dan variety, dari parit gila hingga ke MAFI, dari PPK hingga ke Nafas, semuanya berada dalam mulut naga.
Jika keseluruhan sistem yang terbelit ini tidak dirungkai, 10 orang Syed Mokhtar pun tidak akan berupaya mengeluarkan petani daripada kemiskinan mereka.
Berapa lamakah seorang Syed Mokhtar sanggup memberikan RM50 juta setahun untuk menyelesaikan kemiskinan pasawah padi? Mengarahkan orang kaya import beras menyumbang kepada petani adalah langkah populis, menunjuk nunjuk, bukan langkah menyelesaikan masalah kemiskinan petani.
Sebelum bersimpuh bersama taukey, sebaiknya turunlah ke bendang dulu…
Muhammad Sanusi Md Nor
Alor Setar Kedah.
6/12/2022