Uncategorized

Dolla Tergamam Tiba-tiba Ditahan Tiga Lelaki, Pihak P0lis Tampil Beritahu Identiti Lelaki Tersebut

Pihak berkuasa hari ini mengesahkan tiga individu yang dicurigai oleh kumpulan Dolla sebagai orang yang menyamar sebagai polis untuk menjalankan pemeriksaan ke atas mereka adalah anggota sebenar pasukan keselamatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP AA Anbalagan berkata, pada 20 Dis lalu tiga anggota polis membuat pemantaun kegiatan pusat hiburan dan rondaan cegah jenayah di kawasan pentadbiran Puchong Jaya.

Katanya mereka adalah anggota dari bahagian siasatan jenayah maksiat, judi dan kongsi gelap.

“IPD Serdang menafikan mereka menyamar sebagai anggota polis sebaliknya mereka adalah anggota polis yang berpakaian preman.

“Tiga anggota terbabit memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kad kuasa serta meminta kad pengenalan empat wanita terbabit untuk membuat semakan rekod jenayah melalui sistem MCAD (peranti penerimaan kad mudah alih),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anbalagan, pemeriksaan ke atas individu disyaki mencurigakan adalah tugas utama pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin terutama pada waktu tengah malam.

Tambahnya, ia seperti tertakluk di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis dan Peraturan 7 (1) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Menurut Anbalagan pemeriksaan itu dijalankan di tepi jalan pada jam 11.30 malam.

“Selepas selesai pemeriksaan, kesemua perempuan tersebut dibenarkan beredar dari lokasi pemeriksaan kerana pihak polis tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan.

“Justeru, orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah membuat spekulasi yang boleh menjejaskan kewajiban Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam,” katanya.

Minta Dolla tampil bantu siasatan

Terdahulu, Dolla dalam satu ciapan di Twitter mendakwa, mereka yang baru selesai menjalani latihan menari tergamam apabila secara tiba-tiba ditahan tiga lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.

Dakwa penyanyi lagu Dolla Make You Wanna itu, kejadian berlaku ketika mereka sedang menunggu kenderaan di tepi jalan sebuah kawasan di Lembah Klang.

Dolla yang dianggotai oleh Tabby, Angel, Syasya dan Sabronzo berkata, pada awalnya ketiga-tiga lelaki yang menaiki kenderaan Proton Saga merah itu memperlahankan kereta sebelum berhenti lalu memerhatikan mereka.

Ciapan itu turut menyebut, anggota polis terbabit dicurigai kerana mereka tidak memakai uniform rasmi serta tidak memandu kenderaan polis.

Anbalagan memberitahu semakan menunjukkan tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pemilik akaun Twitter terbabit.

Tambahnya, polis Serdang tetap menjalankan siasatan dalaman bagi melihat sekiranya terdapat apa-apa kesalahan anggota keselamatan dalam menjalankan tugas penguatkuasaan.

“Pihaknya berharap pemilik akaun Twitter bernama Dolla tampil membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan tersebut,” katanya.

kredit: mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *