Ini Reaksi Annuar Musa Bila Dapat Tahu Ummi Nazeera, Jamal Abdillah Tarik Diri Daripada Muafakat Nasional

BANGI, 24 Jamadilawal 1444H, Isnin – Pengasas Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menerima dan menghormati perubahan pendirian beberapa personaliti hiburan yang menarik diri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Beliau berkata, sebagai NGO bebas, pendukung Muafakat Nasional perlu komited, istiqamah, reda dan ikhlas bersukarela dalam berkhidmat.

Annuar mengakui pelbagai reaksi diterima sejak menggerakkan NGO itu, termasuk yang mengecam penubuhannya sehingga memberi kesan kepada beberapa personaliti.

“Kesannya beberapa personaliti yang awalannya begitu kuat bersukarela mahu turut membantu memaklumkan pada saya pelbagai masalah yang mereka hadapi, terutama mereka yang merupakan personaliti awam seperti penghibur.

“Saya faham mereka jujur menyokong usaha MN, cuma pada masa ini ada perkara lain yang mereka perlu pertimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, nama penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah dan pelakon,Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abiddin tersenarai dalam ahli dewan tertinggi (ADT) MN seperti yang tular di media sosial.

Namun beberapa hari kemudian, Jamal mengumumkan penarikan diri daripada MN dan kemudiannya diikuti Ummi yang mengumumkan untuk keluar dari MN.

Menurut Annuar, beliau menerima baik keputusan itu dan menggesa supaya isu penarikan diri dua personaliti terbabit tidak dimomokkan lagi.

“Saya menerima dengan baik, malah amat berterima kasih. Dato Jamal Abdillah sahabat baik saya. Kami berkomunikasi hampir setiap hari.

“Ummi Nazeera umpama anak saya sendiri. Keluarga kami seperti adik beradik. Kerjaya mereka semua lebih penting,” katanya.

Beliau berkata, MN akan melalui pelbagai cabaran dan menyifatkan tohmahan serta fitnah sudah seperti asam garam dalam kehidupan.

Annuar turut mengaku mungkin terdapat kesilapannya dalam mengumumkan senarai nama ADT terlalu awal.

“Masih ramai kumpulan industri kreatif dan seniman yang telah menyertai MN. Kita tetap menyediakan sekurang-kurangnya dua wakil dari industri kreatif dalam ADT.

“Biarlah penglibatan mereka diketahui bila tiba masa yang sesuai. Mesyuarat pertama hanya pada 7 Januari nanti, dan banyak lagi perkara yang perlu kita perhalusi,” katanya.

Ummi Nazeera, Jamal Abdillah tarik diri daripada Muafakat Nasional

Sebelum ini PELAKON, Ummi Nazeera mengambil keputusan menarik diri sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).

Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nurhidayah Zainul Abidin, 32, berkata, dia memutuskan perkara itu selepas mengambil kira kegusaran ramai mengenai penglibatannya dalam dunia politik.

“Setelah mengambil kira kegusaran dari peminat-peminat Ummi yang disayangi serta dari pihak-pihak berkepentingan, saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri dari Muafakat Nasional, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga Ummi,” katanya dalam satu hantaran di Instagramnya pada Ahad.

Pada Sabtu, penyanyi, Datuk Jamal Abdillah mengumumkan menarik diri daripada MN kerana menyifatkan dunia politik tidak sesuai dengan prinsip dirinya sebagai penghibur.

kredit: sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *