Penyanyi rap Altimet sekadar mengucapkan “alhamdulillah” apabila lagu olahan dan nyanyiannya untuk PH sebaliknya digunakan penyokong PN bagi meraikan kemenangan calon mereka di Padang Serai malam tadi.
Terdahulu beberapa video tular menunjukkan penyokong PN menggunakan lagu berjudul Aduh Malaysia bersorak selepas calon mereka, Azman Narudin, menang besar di Padang Serai apabila menguasai kerusi parlimen berkenaan dengan majoriti 16,260 undi.
“Alhamdulillah,” kata Altimet ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad itu berkata, dia tidak mendapat sebarang keuntungan atau laba melalui lagu Aduh Malaysia – yang digubah berdasarkan karya Allahyarham P Ramlee, Hoi Hoi Ya Hoi.
Sebaliknya kata Altimet, hak cipta lagu berkenaan dilepaskannya kepada keluarga atau waris seniman agung Malaysia berkenaan.
Menurut Altimet, 44, dia memang berniat untuk berbuat demikian sejak awal dia mencipta dan mengolah lagu tersebut.
“Komposer asal lagu itu ialah P Ramlee, manakala saya adalah penulis lirik (Aduh Malaysia). Tapi saya lepaskan (hak cipta) semuanya. Memang saya dah berniat dari awal macam itu,” katanya.
Lupus selepas 50 tahun
Menerusi satu ciapan yang dibuat oleh pengguna Twitter, ada netizen meminta Altimet mengambil royalti untuk lagu tersebut kerana digunakan parti lain ketika berkempen.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter menciap dan menanda Altimet bagi menggesa dia menuntut royalti daripada PN kerana penyokong parti terbabit menggunakan Aduh Malaysia sebagai modal untuk menyindir PH.
Namun, Altimet menjawab, dia sememangnya tidak mahu mengambil walau satu sen pun royalti daripada lagu berkenaan.
“Saya memang tak nak.
“Sebenarnya saya lepaskan semua royalti lagu ini pada waris Allahyarham P Ramlee. Tahun 2022 antara tahun terakhir untuk waris-warisnya terima hasil harta intelek dia.
“Hak ini lupus 50 tahun selepas pencipta meninggal dunia. Lagi ramai orang menyanyi lagu allahyarham, lebih banyak mereka (waris) akan dapat,” katanya.
Minta Altimet claim royalti
Sebenarnya sy lepaskan semua royalti lagu ni ke waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee. 2022 antara tahun terakhir utk waris2nya dapat hasil harta intelek dia. Hak ni lupus 50 lepas pencipta meninggal. Lagi ramai org nyanyi lagi byk diorang dapat. So Terimalah kasih semua. ???????? https://t.co/DcCCkzhGPC
— Altimet.eth (@altimet) December 8, 2022
Untuk rekod Hoi Hoi Ya Hoi adalah lagu yang dipaparkan P Ramlee dalam filem komedi, Ali Baba Bujang Lapok, yang diterbitkan pada 1961.
Selain P Ramlee sendiri, ia turut dibintangi S Shamsuddin dan Aziz Sattar.
Altimet – yang menyertai PKR sebelum PRU lalu – kemudian mengolah semula lagu berkenaan untuk digunakan dalam kempen PH.
Orang takde input memang suka menganjing
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji tindakan yang dilakukan Altimet kerana dilihat membantu waris lagenda terulung negara dengan cara yang bijak.
Mereka juga meminta pentaksub-pentaksub politik berhenti memerli ataupun sengaja mencari pasal dengan menjadikan lagu terbabit gurauan ‘menyerang’ Altimet memandangkan dia menjadi pelantun lagu tersebut.

Semoga murah rezeki bro
Malam ini lagu PENYAMUN dinyayikan di Parlimen Padang Serai
Penyokong Perikatan Nasional (PN) di Padang Serai menyanyikan lagu “Penyamun”, kubu kuat PH lah sangat, campur dengan penyamun pun kena majoriti undi beribu-ribu bukan ratus.. Majoriti undi ratus tue sama level dengan TPM di Bagan Datuk.
kREDIT: OMM, MKINI