Uncategorized

“Jangan sesekali kecewakan penyokong UMNO” – Selepas Beberapa Ahli UMNO Di Pecat, Hishammuddin Akhirnya Bersuara

UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

Dalam pada itu, Hishammuddin Hussein memuat naik satu status di Facebook susulan perkembangan yang berlaku dalam UMNO

KUALA LUMPUR: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menegaskan beliau akan terus melangkah ke hadapan untuk berjuang dan tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa mahupun parti.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau adalah seorang pejuang dan akan tetap istiqamah dalam perjuangannya bersama UMNO.

“Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang. Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa. Saya juga tidak menyalahkan parti.

“Saya adalah orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO – dulu, kini dan selamanya,” katanya dalam hantaran di Facebook – yang pertama setelah lama menyepi selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hishammuddin berkata, beliau kini mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan parti tanpa berada dalam Kabinet.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau memahami kerajaan baharu kini perlu menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak seperti kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa, demi rakyat dan negara.

“Buat rakan-rakan pimpinan, khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya mengucapkan selamat maju jaya.

“Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan,” katanya.

Hishammuddin turut mengulas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Rabu lalu, yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 16,260 undi, manakala BN pula mengekalkan kerusi DUN Tioman dengan majoriti tipis 573 undi.

“Kebetulan dua siri pilihan raya bagi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai baru saja selesai. Saya sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi dua kerusi ini untuk melihat ‘mood’ serta sentimen rakyat, khususnya arah sokongan yang diberikan.

“Adalah penting untuk memahami dinamik sokongan itu, terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha memahami ahli parti adalah penting kerana ia banyak bergantung pada ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.

“Ini mesti diberi perhatian kerana saya percaya dalam perjuangan, jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *