Pengerusi Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin kelihatan seperti meroyan selepas gagal untuk menjadi Perdana Menteri.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tidak sampai 24 jam jemaah menteri diumumkan, Presiden Bersatu itu menuduh kerajaan dan Kabinet dibentuk atas penipuan terhadap mandat rakyat.
Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin seolah-olah lupa bahawa perlantikan Perdana Menteri adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Muhyiddin perlu akur terhadap pembentukan Kabinet Perpaduan.
“Dengan kata lain, pelantikan Perdana Menteri kemudian disusuli oleh pelantikan ahli jemaah Menteri ialah perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan Mahiaddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Mahiaddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu,” tegas Ahmad Zahid.
Tambah beliau, bekas Perdana Menteri itu perlu berasa malu kerana dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu

Contohi DAP
Muhyiddin katanya, perlu mencontohi DAP yang lebih mementingkan negara berbanding parti dan individu selain bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan.
“Belajarlah juga menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Kerajaan ini bukan kerajaan Pakatan Harapan. Akan tetapi ialah Kerajaan Perpaduan hasil daripada gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain yang memenangi pilihan raya bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membina negara dan mentadbir lebih baik daripada kerajaan-kerajaan terdahulu,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, Jemaah Menteri yang dibentangkan Anwar merupakan Kabinet ‘keptokrat’ yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat.
Beliau juga berkata, barisan Kabinet tersebut adalah yang paling mengecewakan dalam sejarah apabila melantik seorang yang dihadapkan ke mahkamah terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram sebagai Timbalan Perdana Menteri.-MalaysiaGazette