Uncategorized

Mukhriz Akhirnya Beritahu Kenapa PH dan PN Tidak Berjaya Mewujudkan Kerajaan Perpaduan

ALOR SETAR – Tiada sebab untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dibubarkan setelah mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu akan meneruskan perjuangan dan mampu bertahan walaupun mengakui memerlukan lebih masa untuk mengukuhkan kembali Pejuang.

Menurutnya, ahli-ahli Pejuang tidak harus meninggalkan parti itu sebaliknya kekal bersama menguatkan parti yang baharu berusia setahun jagung berbanding parti lain yang telah lama bertapak.

“Saya tak nampak perlunya untuk Pejuang dibubarkan atau ahli-ahlinya diserap dalam parti-parti Melayu lain atau kembali sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ini kerana perjuangan kami berbeza dengan parti Melayu lain. Apa yang saya boleh gambarkan ialah wujud polarisasi politik yang sangat memecah-belahkan rakyat dalam PRU15 lalu.

“Perikatan Nasional (PN) terlampau ke kanan, Pakatan Harapan (PH) terlampau ke kiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mukhriz berkata, agak sukar untuk Pejuang menyertai mana-mana gabungan tersebut memandangkan PH dilihat agak liberal dengan keahlian pelbagai kaum, manakala PN agak ekstrem dan radikal.

“Pejuang terletak di tengah-tengah, sedikit ke kanan sebab kami parti Melayu. Saya tak nampak macam mana kami boleh beranjak ke kanan (Pas, Bersatu).

“Jadi, saya rasa ada lompang di tengah-tengah itu yang perlu diisi dan memang itulah tempat Pejuang. Kami bawakan pemikiran yang moderate (sederhana) dan progresif namun masih pro-Melayu dan tak bergaduh dengan bukan Melayu,” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu juga, PH dan PN tidak berjaya mewujudkan Kerajaan Perpaduan berikutan dua pihak berkenaan berada di dua sudut yang ekstrem dan begitu ketara perbezaan ideologinya.

“Misi kami masih lagi untuk tubuhkan kerajaan campuran didominasi Melayu yang bersih, cekap dan amanah. Ia masih lagi menjadi prinsip perjuangan Pejuang, namun saya akui Pejuang masih perlukan masa,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berharap rakyat menyedari polarisasi yang berlaku dan ia sebenarnya tidak sihat untuk negara.

“Bila ada dua pihak bertentangan ideologi yang sangat ketara. Saya tak boleh bayangkan apa akan berlaku dalam Dewan Rakyat nanti.

“Saya harap orang ramai sedar perkara ini dan boleh menyokong kami,” ujarnya lagi.

Pada 21 November lalu, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyarankan Pejuang kembali menyertai Bersatu atau mana-mana parti Melayu sedia ada termasuk Pas.

Ini kerana katanya, rakyat sudah muak dengan perpecahan parti Melayu yang menyebabkan wujudnya begitu banyak parti ditunjangi Melayu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu juga menyifatkan, penolakan rakyat terhadap Pejuang telah diterjemahkan melalui keputusan PRU15 yang menyaksikan nama-nama besar parti itu tewas dan gagal meraih sebarang kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, Mukhriz turut kesal dengan pendekatan PN dan PH yang dilihat keterlaluan memainkan isu keagamaan, perkauman dan menyentuh sensitiviti masyarakat dalam kempen PRU15 lalu.

“Saya tak sangka Bersatu boleh jadi macam itu. Retorik PN agak keterlaluan dan ekstrem malah Pas dilihat lebih radikal. Ini sangat membimbangkan kerana boleh meracuni pemikiran anak muda.

“Saya bimbang akan masa depan negara sekiranya ada unsur-unsur seperti itu dalam politik negara,” katanya.

Mukhriz tegaskan, Pejuang tidak tergamak untuk mengikut rentak lawan menggunakan isu sedemikian semata-mata untuk raih undi.

“Kami lebih sederhana tetapi tak dapat sokongan sebab mesej seperti itu kadang-kadang tidak menarik. Saya faham tetapi tak tergamak nak buat untuk timbulkan kebencian sebab bahaya khususnya pengundi muda yang belum ada pendirian politik.

“PH dan PN gunakan media sosial untuk sasarkan golongan muda namun mesej yang disebarkan menyentuh isu sensitif.

“Bagaimana ahli politik boleh sebar dakyah dan sanggup buat begitu semata-mata raih undi hingga timbulkan kebencian pada pihak lawan,” soal Mukhriz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *