Uncategorized

“Perlawanan akhir yang kej4m” – Ini Kata2 PENGENDALI Perancis Selepas Kalah Dalam Penentuan Sepakan Penalti

PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps menyifatkan perlawanan akhir menentang Argentina sebagai ‘kejam’ selepas mereka bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum tewas di penentuan penalti.

“Kami tidak begitu baik dalam 60 minit pertama menentang lawan yang berkualiti tinggi dan mempunyai lebih banyak tenaga.

“Tetapi, kami kembali entah dari mana dan mengubah permainan daripada situasi yang sangat sukar. Ia menyebabkan kekalahan membuatkan kami lebih menyesal,” katanya.

Perancis tewas kepada Argentina 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 tamat masa tambahan dalam aksi final di Stadium Lusail, Doha pada Ahad.

Kylian Mbappe menjaringkan dua gol dalam masa dua minit untuk membatalkan pendahuluan dua gol Argentina dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dia sekali lagi menjaringkan gol daripada sepakan penalti untuk melengkapkan hatriknya dan menjadikan kedudukan 3-3 selepas Lionel Messi meletakkan lawan kembali di hadapan.

Argentina kemudiannya menang penentuan penalti selepas sepakan Kingsley Coman diselamatkan dan rembatan Aurelien Tchouameni tersasar.

Deschamps menegaskan mereka mempunyai peluang untuk menang perlawanan tersebut di minit akhir permainan, namun gagal menyudahkan beberap peluang terbuka.

“Pada kedudukan 2-0 ia pastinya bukanlah penyesalan yang sama, anda hanya cakap ‘bravo’ kepada mereka.

“Saya tidak mahu memandang rendah Argentina tetapi ada banyak emosi dan ia adalah sesuatu yang kejam kerana kami terlalu hampir,” katanya.

Deschamps turut mendakwa jangkitan virus yang melanda beberapa pemainnya sebelum aksi final menjadi antara faktor persembahan hambar para pemain.

“Ada banyak alasan yang menerangkan kenapa kami tidak bagus. Beberapa pemain penting kurang tenaga tetapi membawa masuk pemain muda tanpa pengalaman luas tetapi lebih segar dan banyak kualiti memberikan kami impian,” ujarnya.

Messi bawa pulang Bola Emas

PEMAIN bintang, Lionel Messi dipilih memenangi Bola Emas iaitu pemain terbaik Piala Dunia Qatar 2022 selepas membantu Argentina muncul juara setelah menewaskan Perancis pada aksi final di Stadium Lusail, awal pagi Isnin.

Kejayaan itu menyaksikan Messi muncul pemain pertama memenangi dua kali anugerah berkenaan selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Pemain berusia 35 tahun itu menyumbat dua gol pada aksi final tersebut untuk mengumpul tujuh gol.

Messi turut menyempurnakan sepakan pada penentuan penalti yang menyaksikan Argentina menang 4-2 ke atas Perancis selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga berakhir masa tambahan.

Pemain sensasi Perancis, Kylian Mbappe pula membawa pulang Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas meledak lapan gol.

Dalam pasa itu, penjaga gawang Argentina, Emiliano Martinez meraih anugerah Sarung Tangan Emas apabila dipilih sebagai penjaga gol terbaik.

Pemain muda terbaik pula menjadi milik Enzo Fernandez yang berusia 21 tahun.

Kemenangan Argentina ke atas Perancis menyaksikan skuad bimbingan Lionel Scaloni itu mencatat gelaran juara Piala Dunia ketiga selepas kejayaan pada edisi 1978 dan 1986.

Kasut Emas milik Mbappe

PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Piala Dunia Qatar 2022 selepas meledak lapan gol sepanjang kejohanan.

Hatrik yang dicatatkan Mbappe dalam perlawanan akhir di Stadium Lusail berjaya mengatasi cabaran kapten Argentina, Lionel Messi dengan tujuh gol.

Pemain berusia 23 tahun itu juga telah menjaringkan 12 gol dalam kesemua 14 perlawanan Piala Dunia yang diwakilinya sekali gus menyamai rekod yang dipegang legenda Brazil, Pele.

Dalam pada itu, Mbappe juga turut menjadi pemain yang meledak hatrik dalam aksi final Piala Dunia sekali gus mengulangi catatan sama yang dilakukan oleh legenda England, Geoff Hurst pada 1966.

Hatrik Hurst menyaksikan England berjaya meraih satu-satunya kejuaraan Piala Dunia pada 1966 selepas The Three Lions menewaskan Jerman Barat 4-2 di London.

“Tahniah kepada Mbappe, apa jua yang berlaku saya sudah mengharungi perjalanan yang hebat,” tulis Hurst menerusi ciapan di Twitter miliknya.

kredit: sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *