Penyampai radio berdepan detik mencemaskan selepas kediamannya di Seri Aman Heights, Desa Jaya, di sini, terkena tembakan awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, Pusat Kawalan Daerah IPD Gombak menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang lelaki pada jam 1.50 pagi memaklumkan terdengar bunyi letupan di luar rumah dan terdapat kesan berlubang pada pintu kayu hadapan rumah.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ke tempat kejadian bersama Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat satu kesan lubang pada pintu kayu hadapan rumah dan kesan terkena peluru pada dinding ruang tamu.
“Turut dijumpai satu serpihan besi iaitu serpihan anak peluru di bahagian ruang tamu rumah,” katanya.

(Kiri) Polis menemui senjata dipercayai pistol buatan sendiri, dan (kanan) lubang pada pintu rumah mangsa disyaki kesan tembakan.
‘Saya tidak berhutang, berdendam dengan sesiapa’ – DJ Aki
“Ketika itu saya baru sampai ke rumah bersama suami sekitar jam 1.05 pagi, lima minit kemudian terdengar bunyi kuat di luar rumah,” kata penyampai radio wanita yang dikenali Dj Aki.
Menurutnya, mereka baru masuk ke dalam bilik ketika itu untuk tidur sebelum terdengar bunyi kuat.
“Kami kemudian terus turun untuk melihat apa yang berlaku tetapi terkejut apabila mendapati pintu rumah dan dinding berlubang disyaki ditembak.
“Suami saya kemudian menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Dj Aki berkata, polis turut menemui senjata dipercayai pistol buatan sendiri di belakang bukit kawasan rumahnya.
“Mujur ketika pulang kami mengunci pintu rumah dan jika tidak mungkin terkena tembakan itu.
“Saya tidak tahu mengapa ia berlaku kerana saya tidak ada hutang atau dendam dengan sesiapa,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan penyampai radio berdepan detik mencemaskan selepas kediamannya di Seri Aman Heights, Desa Jaya terkena tembakan awal pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir dilapor berkata, Pusat Kawalan Daerah IPD Gombak menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang lelaki pada jam 1.50 pagi memaklumkan terdengar bunyi letupan di luar rumah dan terdapat kesan berlubang pada pintu kayu hadapan rumah.
Sumber: HMETRO ONLINE