Uncategorized

Salah seorang mgsa ceritakan nampak separuh badan wanita tertimbus, tak sangka ini yg dia sempat buat

Hulu Selangor: “Saya terdengar jeritan meminta tolong sebelum ternampak ada separuh badan yang hanya nampak tangan dan kaki tertimbus dalam runtuhan tanah.

“Saya dan rakan terus menggali tanah itu dengan tangan kami untuk membantu wanita dan anaknya,” kata Chong, 28.

Chong adalah mangsa yang terselamat dalam runtuhan tanah di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di sini, hari ini.

Lelaki dari Melaka itu berkata, runtuhan tanah berlaku di tapak perkhemahan bahagian zon A dengan hampir keseluruhan kawasan itu musnah.

Menurutnya, dia bersama 18 ahli keluarga dan rakan berkhemah di zon B yang tidak terjejas teruk dan semua kumpulannya selamat.

Katanya, sebelum itu mereka terdengar bunyi dentuman kuat sebelum runtuhan tanah merosakkan khemahnya.

“Kami keluar menyelamatkan diri dan tiba-tiba saya terdengar jeritan wanita meminta tolong dan ternampak ada separuh badan wanita tertimbus.

“Tanpa berlengah saya dan seorang lagi rakan lelaki terus menggali tanah dengan tangan selama 10 hingga 15 minit sebelum mangsa dan anak perempuannya diselamatkan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Hulu Yam Bharu di sini, hari ini.

Menurutnya, dia tidak mengenali mangsa terbabit, namun bersyukur dua beranak itu dapat diselamatkan.

“Tapak perkhemahan itu memang cantik tetapi runtuhan itu menyebabkan semua kawasan sudah menjadi seperti rata.

“Saya tak pasti berapa ramai mangsa terbabit dalam kejadian itu tetapi percaya masih ada lagi di bawah (tertimbus),” katanya.

Mengimbas detik kejadian itu, Chong berkata, kejadian berlaku pada 2 pagi dan ketika itu mereka sedang tidur di khemah masing-masing.

“Ketika tanah runtuh saya terdengar seperti dentuman kilat dan runtuhan tanah dirasai berada di kepala. Kami kemudiannya terus keluar untuk selamatkan diri. Malam tadi hujan cuma renyai.

“Saya bersyukur kumpulan kami semua selamat cuma khemah saya saja koyak dalam kejadian itu. Kami datang ke tapak perkhemahan itu sejak kelmarin dan sepatutnya pulang hari ini,” katanya.

Sementara itu, Teh Lynn Xuan, 22, berkata, ketika kejadian dia hanya tidur-tidur ayam saja dan terdengar bunyi kuat seperti batu berguling serta air menitis di luar khemahnya.

Katanya, dia juga berkhemah di bahagian zon B dan datang ke tapak itu untuk bercuti bersama 20 lagi keluarganya dari Melaka.

“Kejadian itu menyebabkan khemah tertolak hingga kaki kami naik ke atas ketika tidur dan ia berlaku sangat cepat,” katanya sambil memberitahu kumpulannya juga semua selamat.

Reaksi mangsa yang terselamat di tempatkan di Balai Polis Hulu Yam Bharu susulan kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, pagi ini. – Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Tanah runtuh: Lebih 20 guru SJKC Mun Choong dan keluarga antara mangsa

HULU SELANGOR: Lebih 20 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan ahli keluarga mereka, disahkan antara ratusan mangsa tanah runtuh perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, awal pagi tadi.

Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong, berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya setakat ini, beberapa guru yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

“Selain HKL, ada guru dipindahkan ke Balai Polis Hulu Yam Bharu untuk menerima rawatan daripada petugas HKL.


Antara mangsa tanah runtuh yang berjaya diselamatkan tiba di Balai Polis Hulu Yam Bharu selepas dibawa keluar daripada lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, hari ini. – Foto BERNAMA
“Saya bergegas dari Selayang ke balai ini untuk mendapatkan maklumat terbaharu.

“Ada seorang guru wanita bersama bayinya masing-masing menangis ketika dirawat tadi, nasib baik mereka hanya cedera ringan. Saya juga ada bawa susu untuk bayi itu,” katanya ketika ditemui di balai terbabit, hari ini.

Chin Ong berkata, guru terbabit bersama keluarga mereka mengambil keputusan untuk bercuti dengan mendirikan khemah di ladang terbabit, selama tiga hari sejak Rabu lalu.

“Mereka berkhemah sempena cuti persekolahan hujung tahun. Mereka patut pulang ke kediaman masing-masing pagi ini.

“Guru terbabit bercuti di ladang itu kerana berasakan kawasan itu selamat dan rata. Ada dua kem di kawasan itu, kejadian tanah runtuh teruk di kem satu,” katanya.

Sementara itu, beberapa petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat membawa beberapa keperluan asas seperti makanan, pakaian, lampin dan selipar untuk mangsa di balai polis berkenaan.

Petugas HKL pula sibuk merawat mangsa dengan memeriksa tekanan darah dan membalut luka mereka.

kredit:hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *