ALOR SETAR: Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan pemilikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) RM400 juta disifatkan tidak benar.
Shahidan turut mempersoal tindakan Anwar yang mendedahkan hanya beberapa nama terlibat dalam pembelian saham berkenaan selain mengumumkan secara terbuka butiran syarikat itu yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
Menurutnya, penjelasan berhubung isu berkenaan hanya akan dilakukan kemudian dan kemungkinan dalam persidangan Parlimen akan datang.
“Saya tidak ada saham dalam Bernas, pemilik Bernas yang perlu jawab isu terbabit.
“Pendedahan Anwar itu tidak benar. Insya-Allah saya akan berikan jawapannya di Parlimen nanti. Sepatutnya Anwar beri perhatian pulihkan negara berbanding korek hal-hal seperti itu. Kalau nak korek, korek semualah sebab Bernas syarikat yang disenaraikan, ini ialah pembelian saham dalam syarikat yang disenaraikan, apa kesalahannya?,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Pada Isnin, Anwar menegur Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang didakwa mempunyai monopoli terhadap import beras.
Anwar turut dedahkan Syed Mokhtar telah membeli Bernas daripada Tan Sri Tan Boon Seng sebanyak 31 peratus (sekitar RM800 juta) dan RM400 juta daripada syarikat milik Shahidan.
Bagaimanapun Shahidan mempersoal kewajaran Anwar yang bertindak hanya menyebut namanya sedangkan terdapat lebih 1,000 syarikat disenaraikan.
“Beli saham dalam pasaran perlu cerita semuakah? Sebut semualah, kenapa hanya nama saya diberikan perhatian. Bukan setakat tidak benar tetapi bolehkah Perdana Menteri ceritakan pembelian saham dalam syarikat disenaraikan secara terbuka?
“Saya sedang dapatkan nasihat perundangan sebab ini ialah syarikat disenaraikan, apakah boleh syarikat disenaraikan kita bincang secara terbuka. Kalau ya, saya ingat eloklah cerita semua syarikat yang ada,” soalnya lagi.
Menurutnya, pendedahan tersebut juga telah mengaibkan dirinya kerana merupakan suatu tuduhan tidak tepat.
“Saya nak bagi tahu tuduhan tersebut tidak benar, ia melibatkan sebuah syarikat kerajaan yang diswastakan dan adalah syarikat yang disenaraikan. Pembelian saham bukan ada hubung kait dengan kerajaan.
“Siapa yang hisap duit rakyat? Bernas tak hisap duit rakyat, Bernas hanya berniaga. Isu ini merugikan masa saya, sepatutnya saya fokus kepada masalah rakyat dan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) yang luar biasa,” ujarnya.
Shahidan turut menasihatkan agar Anwar memberi tumpuan kepada usaha untuk membela rakyat berbanding isu seumpama.
“Perkara itu melibatkan perundangan dan sebuah syarikat yang disenaraikan, perkara berlaku sudah berpuluh tahun. Kenapa saya yang dipersalahkan, sekarang bukan saya tuan punya Bernas.
“Perlukah saya jawab isu Bernas? Tanyalah pemilik sekarang sebab beliau beli saham yang disenaraikan, bukan (milik) saya seorang tetapi ramai (pemilik), jadi tak betul lah tuduhan itu,” tegasnya. – Sinar Harian
Berikut pula pandangan dari tokoh wartawan

Iktibar Anwar Lawan Syed Mokhtar
1. Pada pandangan saya, tidak semuanya buruk atau negatif apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memilih untuk “mengherdik” (reprimand) usahawan Syed Mokhtar Albukhary.
2. Mula-mula sekali, banyak orang “mengherdik” Anwar balik dan menuduhnya menghukum satu-satunya usahawan Bumiputera dalam kategori “billionaire” di bumi Malaysia ini tetapi senyap mengenai bukan Bumiputera yang juga mendapat monopoli, kontrak dan konsesi berbilion ringgit dari kerajaan.
3. Kemudian banyak yang pertahan dan puji Syed Mokhtar kerana amal jariahnya yang banyak dan kemampuannya bersaing dengan bukan Bumiputera.
4. Ok lah, tidak semua usahawan “perfect” dan tidak semua monopoli, kontrak dan konsesi yang mereka terima telus. Sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan zaman pengswawataan tahun 1990-an, Anwar terbabit terus dan banyak usahawan pelbagai bangsa mendapat faedah daripada largesse (kemurahan hati) beliau.
5. Saya cukup yakin kalau beliau mahu, beliau boleh menghimpunkan usahawan yang menikmati keuntungan besar daripada kemurahan hati beliau 30 tahun lalu untuk membantu beliau membangunkan semula ekonomi Malaysia macam Dr Mahathir Mohamad dibantu oleh Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council).
6. Mungkin Anwar tidak terlibat secara langsung membangun dan memajukan empayar perniagaan Syed Mokhtar. Tetapi ketika Anwar menjadi orang kanan Dr Mahathir pada tahun 1990-an, Syed Mokhtar sudah pun seorang peniaga Bumiputera yang berjaya. Antara yang membantu beliau adalah Mahiaddin Md Yasin selaku Menteri Besar Johor. Dr Mahathir datang kemudian, lepas Mahiaddin.
7. Dia dalam lima tahun lebih muda daripada saya dan kami berkongsi sekolah. Saya Saint Michael School pagi bantuan kerajaan dan dia Saint Michael School swasta petang. Dia kenal ayah saya melalui kerbau lembu. Ayah saya ternak kerbau dan lembu. Syed Mokhtar dan bapanya berniaga kerbau lembu.
8. Anwar ungkit pasal monopoli beras. Monopoli beras ini ciptaan kerajaan. Zaman penjajah sudah ada. Bermula sebagai Rice Distribution Guilds selepas Perang Dunia Kedua dan kemudian Pejabat Kawalan Makanan. Di bawah sistem monopoli inilah francais beras, gula dan gandum diberikan kepada bapa Robert Kuok, Mendiang Kuok Keng Kang, oleh kerajaan Johor dan beberapa orang lagi tauke Cina di negeri-negeri lain.
9. Tahun 1971 kerajaan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Pada 1996 ia diswastakan menjadi Bernas dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun berikutnya. Masa itu Anwar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Tentu beliau tahu asal usulnya. Syed Mokhtar hanya membeli kawalan syarikat itu pada 2014.
10. Rasanya ini cerita pukul anak sindir menantu. Sasaran sebenar mungkin “ketua agitator” Perikatan Nasional (PN), Shahidan Kassim yang bercakap mengenai kejatuhan kerajaan perpaduan. Pada 24 November, dia dilaporkan berkata kerajaan persekutuan yang diketuai PH yang memilih bekerjasama dengan parti dengan jumlah kerusi yang sedikit tidak akan kekal lama. Bagi yang tidak tahu, Anwar dengan Shahidan ini seteru lama.
11. Anwar pun dah kata, bukan tujuan dia nak gugat empayar Syed Mokhtar. Tapi mengherdik Syed Mokhtar dan mendapatkan “derma” RM60 juta untuk dua tahun tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan penanam padi atau import beras. Untuk mula memahami masalah ini, Anwar dan Menteri Pertanian, Mohamad Sabu, kena singsing kaki seluar dan turun ke bendang. Rasa berapa dalam kelebok!
Terima kasih.