Sebelum Ni Ada Persoal, Tak Sangka Ini Jumlah Kutipan Tabung Kecemasan Nad Zainal

Bapa kepada pelakon terkenal, Nad Zainal iaitu Zainal Abidin mendedahkan dia tidak pernah menyangka sama sekali anak perempuannya itu mengalami sakit yang serius sehingga terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan, di sini sejak Isnin lalu.

Ujarnya, anak tunggalnya itu tidak pernah sakit teruk dan perkara ini adalah kali pertama terjadi namun, Nad pernah mengadu sakit di bahagian dada.

“Dia lambat beritahu saya, dia diam, dia pendam. Dia ada mengadu sakit dada tapi macam tak serius. Dia ingat makan ubat boleh baik,” katanya.

Tabung kecemasan bagi mengutip dana untuk pelakon Nad Zainal kini sudah mencecah sumbangan hampir RM70,000 selepas beberapa hari ia dilancarkan.

Perkembangan mengenai jumlah kutipan itu telah dikongsikan pengarah yang juga rakan baik Nad iaitu Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat.

Setakat pagi Khamis, jumlah kutipan berjaya dikumpul ialah sebanyak RM69,697 daripada sasaran iaitu RM200,000.

“Alhamdulillah, syukur. Tabung masih terus dibuka ya kawan-kawan sekalian,” tulis Ijat di ruangan kapsyen.


Sementara itu, pelakon Ungku Ismail Aziz berkata tabung yang diwujudkan hasil inisiatif rakan-rakan artis serta peminat Nad itu adalah bagi menampung kos rawatan medikalnya di hospital pakar serta untuk membantu meringankan beban keluarga aktres tersebut.

“Lebihan dari sumbangan kecemasan rawatan medikal pakar ini akan disalurkan terus ke penjagaan harian pasca penjagaan rawatan Nad.

“Yang pastinya, jangan kita lupa titipkan doa untuk Nad agar kembali pulih sepenuhnya,” tulis Ungku Ismail.

Nad dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor akibat jangkitan kuman dan pendarahan di paru-paru sejak 20 November lalu.

Nad Zainal mula gerakkan tangan, angguk kepala

Pelakon Nad Zainal dilaporkan menunjukkan perkembangan semakin baik apabila sudah mula menggerakkan tangan dan menganggukkan kepala, namun masih di bawah pemantauan doktor di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ampang.

Perkembangan itu dikongsi teman baiknya yang juga pelakon, Ungku Ismail menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam perkongsian itu, Ungku Ismail memaklumkan, pelakon Hati Yang Tersakiti itu menunjukkan perkembangan positif setiap hari, malah doktor juga sudah mengurangkan pemberian ubat sejak tiga hari lalu.

“Setiap hari pasti ada perkembangan kecil ditunjukkan. Tapi ada ketika agak membimbangkan apabila paras oksigen dan tekanan darahnya naik turun.

“Alhamdulillah, progress itu ada dan Nad sudah boleh membuka sedikit mata, menggerakkan tangan serta mengangguk kepala apabila kita bercakap dengannya.
“Namun, Nad masih dirawat di ICU dan itu bermakna keadaannya masih kritikal, jadi tidak boleh terlalu gembira.

“Kami berharap dan berdoa paru-paru Nad benar-benar sembuh kerana kini mesin pernafasan masih belum dicabut walaupun kadarnya sudah dikurangkan,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Ungku Ismail turut menjelaskan keadaan sebenar Nad yang bukannya koma atau tidak sedarkan diri secara tiba-tiba seperti yang disangka ramai.

“Dia sebenarnya diberikan doktor dua ubat, satu supaya tidak boleh bergerak, manakala satu lagi ubat tidur. Ia bertujuan melancarkan operasi dan baik pulih badan, terutama paru-parunya.

“Ubat itu juga memudahkan doktor merawat dan menjalankan prosedur sepatutnya. Jika pemberian ubat itu dihentikan, Nad akan sedar.

“Doktor juga masih menganalisis setiap hari untuk memastikan waktu yang sesuai sebelum alat bantuan pernafasan dicabut,” katanya.

Dalam pada itu, Ungku Ismail juga berharap, orang ramai menghormati ibu dan bapa Nad serta tidak mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaan mereka di media sosial.

“Berilah ruang kepada ibu dan bapa Nad bertenang supaya dapat berfikir menyelesaikan masalah yang dihadapi anak tunggal mereka. Jangan runsingkan lagi keadaan mereka.

“Saya juga harap orang ramai tidak salah faham dengan keadaan yang dialami Nad,” jelasnya.

kredit: utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *