Uncategorized

‘Sikapnya tidak seindah wajah’ -Lepas Pelakon Pandu Melulu, Ayu Puteh Mula Bersuara

KUALA Lumpur: Penerbit drama dan filem, Datuk Ayu Puteh terkilan dengan sikap tidak bermoral seorang pelakon lelaki yang kini didakwa akibat memandu kereta secara melulu menyebabkan seorang penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaannya.

Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh berkata, dia pada mulanya melihat video kemalangan yang tular di media sosial seperti Tik Tok dan Instagram memang berasa marah dengan pemandu kereta terbabit yang disifatkan mempunyai masalah sikap.

“Tapi, saya tak sangka rupanya saya kenal dia (lelaki itu) kerana pernah bekerja dengan produksi saya dan berlakon drama diterbitkan. Jadi, apabila mengetahuinya, saya berasa kesal dan terkilan kerana dia menunjukkan perwatakan diri yang ‘wow’ di set penggambaran.

“Ternyata, menerusi video tular itu menunjukkan sikap dirinya yang tidak seindah wajah. Mana keimanan, mana kesabaran sebagai seorang lelaki matang. Bukan remaja belasan tahun sebab umur dia pun dah cecah 30-an.

“Saya juga tak nafikan ketika mengenalinya (lelaki itu) di lokasi, dia memang berwajah kacak dan untuk lakonan pula masih boleh digilap. Malah, ada peluang untuk dia jadi pelakon yang bagus suatu hari nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga sama ada lelaki terbabit masih ada peluang berlakon dengan produksinya lagi, Ayu berkata, dia profesional dalam bekerjasama. Jelasnya, dia tiada masalah pun dan sedia memberi nasihat sekiranya diperlukan.

Ayu yang juga pemilik Pencil Pictures & Records Sdn Bhd berkata, dia tidak boleh memberi komen lanjut dan apa yang dijawab itu adalah rentetan pertanyaan beberapa media yang mencarinya untuk penjelasan berikutan lelaki itu pernah berlakon dengan produksinya.

Terdahulu, media melaporkan tindakan seorang selebriti lelaki juga pelakon sambilan didapati memandu kereta secara melulu menyebabkan seorang penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaan itu dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang berhampiran jejambat susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan yang turut tular di media sosial membabitkan dua kenderaan itu berlaku jam 5.30 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu selebriti lelaki yang juga pelakon sambilan berusia 30 tahun itu menukar lorong secara zigzag hingga hilang kawalan.

“Kereta itu kemudian hingga terlanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova,” katanya.

kredit:hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *