Sumber Dedah Hampir Pasti Zahid Hamidi Akan Jadi TPM, Ini Status Pengumuman Kabinet Anwar Buat Ramai Berdebar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada di Pejabat Perdana Menteri di sini pada pukul 8.15 malam nanti.

Sebelum ini, pengumuman itu dijangka dibuat Anwar pada pukul 6 petang sejurus tiba dari Perak selepas menghadiri kenduri bersama rakyat di Tambun.

Terdahulu, Anwar hadir ke Istana Negara kira-kira pukul 8.22 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan perjumpaan itu dipercayai bagi mempersembahkan senarai Kabinet untuk diperkenan.

Pertemuan antara Al Sultan Abdullah dan Perdana Menteri berlangsung selama hampir 40 minit sebelum Anwar meninggalkan Istana Negara untuk mengadakan pertemuan bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh.

Persoalan mengenai siapa bakal Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet masih lagi belum terjawab hingga ke hari ini.

Namun, sumber UMNO menyatakan bahawa pihak mereka yakin Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bakal menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Hampir pasti

Memetik laporan MalaysiaKini, sumber dalaman UMNO memaklumkan bahawa Ahmad Zahid dicalonkan oleh parti terbabit untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri itu oleh kerana kedudukannya sebagai presiden parti tersebut.

Hampir pasti presiden Umno akan jadi timbalan perdana menteri, insya-Allah. Itu saja saya boleh cakap. – sumber dalaman UMNO

Selain itu, seorang lagi sumber yang rapat dengan Ahmad Zahid juga memberitahu perkara yang sama dan mengesahkan bahawa Presiden UMNO itu telah dicalonkan untuk memegang jawatan berkenaan.

Ya, nama presiden dicadangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. – sumber dalaman UMNO

Sebelum ini, Ahmad Zahid pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pimpinan Najib Razak. Presiden UMNO itu berkemungkinan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri buat kali kedua sekiranya telah disahkan oleh kerajaan.

Apa dilema Anwar dalam pembentukan Kabinet?

Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan berdepan dilema dalam menentukan senarai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika desas-desus mengatakan pengumuman mengenainya bakal dibuat petang esok.

Selain mengambil kira harapan rakyat, Perdana Menteri juga perlu mempertimbangkan tuntutan daripada rakan Pakatan Harapan (PH) yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan pertama negara.

Hal ini mencetus kekhuatiran dalam kalangan penganalisis politik terutama kelewatan dalam membentuk Kabinet yang boleh melambatkan usaha negara terutama dalam merangka strategi untuk mengharungi kemerosotan ekonomi yang dijangka tahun depan.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST), wujud desakan bersepadu daripada Barisan Nasional (BN) supaya Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, ia mendatangkan masalah kepada Anwar berikutan kes perbicaraan rasuah Ahmad Zahid belum selesai di mahkamah.

Beliau berkata, memberikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu jawatan dalam Kabinet akan mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong PH yang lantang mahukan Kabinet Anwar bebas daripada individu berdepan pertuduhan rasuah.

Sumber lain pula mengatakan, perbincangan berhubung portfolio utama juga bukan mudah, termasuklah berhubung jawatan Menteri Kewangan.

Difahamkan, sementara pencabar utama disebut-sebut iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, seorang lagi individu dikatakan melobi jawatan itu sekali gus merumitkan keadaan.

“Tiada siapa mahu berada di tempat Anwar ketika ini. Beliau berdepan tanggungjawab besar, untuk menjaga hati parti dan penyokongnya, namun sedar rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduannya boleh meninggalkan kerajaan baharu sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi,” kata sumber itu.

Penganalisis Ekonomi dari Sekolah Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata Kabinet mesti dibentuk sebelum sidang Parlimen ke-15 pada 19 Disember depan.

Beliau berkata, dengan pembentukan Kabinet baharu ia akan membolehkan kerajaan merangka dan membentangkan agenda penting iaitu Bajet 2023, sambil mengakui kerajaan yang stabil penting kepada ekonomi negara membangun.

Ini kerana, katanya, rakyat Malaysia dan seluruh dunia juga sedang menunggu barisan Kabinet dan ia termasuk komuniti perniagaan dalam dan luar negara, terutama mereka yang ingin melabur di negara ini.

“Syarikat multinasional di negara ini sedang mengkaji langkah kerajaan seterusnya kerana ia akan mempengaruhi cara industri merancang pembangunan perniagaan mereka memandangkan tempoh ekonomi yang sukar pada 2023. Oleh itu, mereka ingin tahu apa yang ada di Malaysia,” katanya.

Penganalisis Politik, Dr Azmi Hassan, pula Anwar bukan hanya perlu memenuhi keperluan PH terdiri PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), namun beliau juga perlu memenuhi tuntutan BN dan blok Borneo.

“Keperluan parti politik dari Borneo walaupun sangat jelas dan langsung – seperti memulihkan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 – tidak mudah dipenuhi,” katanya.

Ahli Ekonomi Sunway University, Prof Yeah Kim Leng, turut berkongsi pandangan sama apabila berpendapat, kelewatan membentuk Kabinet mungkin menimbulkan kebimbangan orang ramai dan pelabur.

“Orang ramai mungkin akan memberi lebih banyak kelonggaran kepada Perdana Menteri baharu selagi barisan Kabinet mencerminkan kestabilan, kecekapan dan perpaduan yang dapat menunaikan janji dan jangkaan yang ditetapkan oleh Anwar sejak pelantikannya,” katanya.

Kredit: MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *