PERSONALITI media sosial, Daing Ellando tampil membuat permohonan maaf berhubung video prank tular yang dilakukan ke atas seorang wanita.
Menurut TikToker itu, video berkenaan merupakan lakonan semata-mata dan dia berharap isu itu tidak lagi dipanjangkan selepas ini.
Berikut pula reaksi dari peguam
“Ada beberapa orang tanya perspektif undang-undang tentang video prank baling kek ke muka seorang ibu yang menjaga anak kurang upaya di taman rekreasi.
” Saya baru tonton video penjelasan pemuda yang prank dan wanita yang kena prank. Rupa-rupanya video prank itu, lakonan semata-mata. Linknya ada dalam ruang komen.

Alasan mereka ianya satu bentuk sosial experiment untuk lihat reaksi orang awam. Hmm..entahlah. Selepas terima kecaman, keluar penjelasan begini. Lepas seorang buat kaedah begini, datang seorang lagi meniru kaedah ‘prank and justify’.
Begini, prank ini bukan budaya kita. Tidak sesuai. Kalau hendak prank boleh tetapi janganlah keterlaluan.
Sekarang ini, macam-macam modal prank yang digunakan ‘content creator’ muda di Malaysia. Prank terlanjur mengandung, prank tarik tudung, prank biadap dengan orang tua. Haih!
Kata pemuda ini kononnya untuk meningkatkan kesedaran. Dik, banyak cara hendak tingkatkan kesedaran dan banyak kaedahnya. Bukan yang berbentuk mengasari orang tua.
Katanya hendak lihat reaksi orang awam tetapi tidak ada yang membantu. Tidak dik, orang Malaysia ini memang jenis yang selalu membantu. Mujur awak tidak dimaki hamun atau diserang kerana provokasi menganiaya orang lebih tua. Janganlah meminta. Jangan membuat provokasi.
Tujuan muat naik sesuatu video, sudah tentu untuk tular dan dikenali. Bukan begini caranya. Biarlah dikenali itu, bukan yang dimaki dan dibenci. Ada orang jenis orang tidak kisah, asalkan dikenali. Demi kerana ‘content’.
Dari perspektif undang-undang, kalau tidak kena gaya jika kandungan sesuatu video prank yang dimuatnaik berbentuk, sumbang, jelik, mengancam, lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain atau menganiaya adalah kesalahan bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hukumannya boleh didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.
Bukankah kandungan video begini, jenis yang jelik, menyakitkan hati orang lain?
Ada video prank yang jenis menganggu kesantunan orang atau berbentuk seksual. Ini adalah kesalahan bawah Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang berbentuk seksual dan menganggu kesantunan orang lain. Semua ini ada hukumannya. Tidak lucu.
Ada video prank yang jenis menyentuh dan mengacah untuk menyerang. Ini juga kesalahan dan mangsa boleh juga menuntut secara sivil untuk tuntutan ganti rugi.
Bukan tidak boleh bergurau. Kalau sama-sama kawan, mungkinlah rakan kita boleh terima walaupun merepek mana pun jenis prank tetapi dengan orang asing. Hish! Sampai tarik tudung atau mengasari orang lain dan dengan harapan prank begini diterima. Berpada-pada. Kenal budaya kita dan hormati budaya kita.
Terdahulu, tular video memaparkan Daing yang melakukan prank ke atas seorang wanita sehingga menyebabkan dirinya teruk dikecam netizen.
Dalam video yang dirakam di sebuah taman di Semenyih, Selangor, Daing bertindak biadab apabila dia melumurkan sebiji kek pada wajah wanita berkenaan.
Lebih pilu, wanita itu dilihat sedang menolak anak lelakinya yang juga OKU sebelum dia dikejutkan dengan prank berkenaan.
Video tersebut mengundang kemarahan netizen yang menyangka ia adalah kejadian sebenar kerana Daing tidak menyatakan di TikTok bahawa ia lakonan semata-mata.
Sumber : MSTAR ONLINE / FB Nor Zabetha