Tragedi tanah runtuh: Menteri Dedah Status Sebenar Tiga Tapak Perkhemahan Buat Ramai Terkejut

Hulu Selangor: Tiga tapak perkhemahan dimiliki sebuah syarikat di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini, yang terbabit dalam insiden tanah runtuh, awal pagi tadi, didapati beroperasi tanpa lesen.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, semakan mendapati syarikat itu hanya memohon lesen bagi membangunkan ladang organik di kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan kawasan ini (tapak perkhemahan) beroperasi sejak 2020 lagi dan tiada permohonan untuk menjalankan aktiviti perkhemahan dibuat kepada pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

“Ia adalah satu kesalahan mengikut Akta 133 Bangunan dan Parit jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun atau denda tidak kurang RM50,000,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Kor Ming berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha tapak perkhemahan yang didapati tidak memohon lesen dengan PBT.

“Tindakan tegas akan diambil bukan saja kepada pemilik tapak perkhemahan di Batang Kali ini, malah pemilik tapak perkhemahan lain yang tidak mempunyai lesen.

“Justeru, saya minta mana-mana pengusaha tapak perkhemahan yang beroperasi tanpa lesen supaya memohon lesen dengan segera sebelum tindakan diambil terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada semua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara supaya meminta pengusaha tapak perkhemahan mengosongkan kawasan berkuat kuasa pagi tadi.

“Ia membabitkan tapak perkhemahan yang terletak di lokasi berisiko tinggi seperti berhampiran sungai, air terjun dan lereng bukit.

“Tindakan ini dibuat susulan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi yang memaklumkan taburan hujan lebat ekoran Monsun Timur Laut bermula esok dan dijangka berlarutan selama lima hari.

“Arahan ini berkuat kuasa selama tujuh hari sehingga arahan lanjut dikeluarkan selepas penilaian dibuat bersama Jabatan Meteorologi nanti,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi mana-mana lokasi berisiko tinggi dan memilik tempat percutian yang selamat bagi menjamin keselamatan diri.

ANGGOTA SMART Malaysia, bomba dan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) menjalankan operasi mencari mangsa di lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali. FOTO ihsan SMART Team

Tanah runtuh: 14 lagi mangsa masih tertimbus

seramai 18 mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, telah disahkan meninggal dunia dan dibawa keluar dari lokasi runtuhan setakat jam 5.30 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, seramai 14 mangsa masih tertimbus dalam runtuhan berkenaan.

Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan seramai 94 orang mangsa di mana 61 selamat manakala 18 telah disahkan meninggal dunia termasuk empat orang kanak-kanak.

“Mangsa terbaru dikeluarkan sekitar jam 4.40 tadi, dan dalam setengah jam yang lalu kita menjumpai seorang lagi mangsa tetapi masih dalam proses untuk dibawa keluar.

“Kita mengalami kesukaran mengesan mangsa berikutan kedudukan mayat yang telah ditolak jauh dari tapak khemah oleh runtuhan tanah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri.

Norazam berkata, pihaknya telah mengesan kedudukan mangsa ke-19 bagaimanapun usaha membawanya keluar sedang giat dijalankan.

Katanya, usaha menyelamat mangsa akan diteruskan sehingga kesemua mangsa yang tertimbus berjaya dibawa keluar melainkan jika cuaca tidak mengizinkan.

“Kita telah berbincang bahawa ops akan diteruskan selama 24 jam tetapi jika hujan kita akan berhenti serta merta.

“Anggota penyelamat telah disusun untuk bertugas secara bergilir-gilir sehingga kesemua mangsa ditemui,” ujar beliau.

kredit: bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *