Uncategorized

Tun M Akhirnya Jelaskan Kenapa Zahid Tak Sepatutnya Dilantik TPM, Buat Anwar Tak Senang Duduk

PUTRAJAYA: Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, dilihat memberi tekanan kepada institusi kehakiman untuk menjalankan tugas secara adil dan tanpa gentar dalam kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Ahmad Zahid sepatutnya tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan kerana berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah ketika ini.

Bekas Perdana Menteri itu berpandangan pelantikan Ahmad Zahid sebagai individu kedua tertinggi dalam kerajaan akan menganggu mahkamah, yang mungkin terpaksa membuat keputusan memihak kepadanya.

“Sepatutnya (pelantikan) itu tidak dilakukan kerana dia sedang menghadapi tindakan mahkamah dan ada kemungkinan dia akan didapati bersalah dan dihukum.

“Orang sebegini tidak sepatutnya diberi jawatan yang begitu tinggi kerana Timbalan Perdana Menteri adalah orang yang akan ambil alih tugas Perdana Menteri jika sesuatu berlaku dan kita akan dapat seorang Perdana Menteri yang masih berdepan tuduhan mahkamah.

“Orang melihat oleh kerana Timbalan Perdana Menteri, mahkamah tidak boleh mengambil tindakan terhadapnya. Ini akan mengganggu pihak mahkamah untuk membuat keputusan. Mungkin mereka akan dapat tekanan dan undang-undang mungkin diketepikan.

“Ini bermakna dalam negara kita, tiada lagi kedaulatan undang-undang, pemerintahan yang mengutamakan kepentingan orang tertentu dan menyebabkann kerajaan tidak dihormati oleh rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan pelantikan Ahmad Zahid yang masih dibicarakan di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes ‘prima facie’ bagi semua tuduhan terbabit.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan Ahmad Zahid juga sepatutnya meletak jawatan Presiden UMNO dan menolak lantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas parti pimpinannya kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Dulu selepas PRU14, Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO selepas kalah dan kemungkinan dihadapkan ke mahkamah, dia letak jawatan. Sepatutnya Ahmad Zahid juga buat demikian kerana dia punya masalah yang sama dengan Najib, maka dia patut tak pegang apa-apa jawatan.

“Selepas itu baru kita dapati mahkamah tidak terganggu dengan tekanan, bahawa orang ini adalah pembesar dan undang-undang untuk pembesar tidak patut dikenakan seperti orang biasa,” katanya.

Anwar terpaksa terima hakikat Zahid ketua blok terbesar sokong PH – Mujahid

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mujahid Yusof melihat pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai sebahagian daripada anggota Kabinet tidak akan menjejaskan perjalanan kes mahkamah membabitkan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Beliau berkata, secara asasnya, tiada apa-apa kaitan prasyarat kes mahkamah dan kedudukan Ahmad Zahid dalam Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana kes akan tetap berjalan.

“Apa sahaja keputusan mahkamah adalah bebas dan tidak akan terikat dengan perlantikan beliau dalam Kabinet. Segala pematuhan undang-undang terpakai kepada Ahmad Zahid sebagai implikasi apa yang akan berlaku ke atas dirinya di mahkamah nanti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, hakikatnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menerima kenyataan bahawa Ahmad Zahid masih mengemudi BN yang menyumbang 30 kerusi Parlimen bagi menyokong kerajaan perpaduan sebagai blok kedua terbesar selepas PH.

KREDIT: BHARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *