AKSI panas membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab Bulgaria, Levski Sofia menyaksikan perlawanan persahabatan membabitkan kedua-dua pasukan terpaksa ditamatkan lebih awal pada minit ke-54.
Dalam perlawanan di Stadium Jebel Ali Centre of Excellence di Dubai pada Sabtu, JDT berjaya mengejutkan pasukan lawan itu menerusi jaringan pemain import baharu mereka, Juan Muniz pada minit ke-24.
Selepas jaringan tersebut, Levski Sofia bermain dengan aksi lebih agresif untuk mencari gol penyamaan, namun sukar mendapat rentak ekoran kecemerlangan JDT menguasai perlawanan.
Aksi agresif pada babak kedua berlarutan sehingga terjadinya pergaduhan pada minit ke-53 menyebabkan perlawanan dihentikan seketika sebelum pemain Levski Sofia bertindak keluar padang dan memboikot perlawanan.
Pemain Levski Sofia mendakwa pemain JDT melakukan kekasaran terhadap pemainnya dan pengadil perlawanan dari Serbia gagal mengendalikan aksi dengan baik menjadi punca mereka memboikot perlawanan.
Namun, berdasarkan video yang viral di sosial media menyaksikan beberapa aksi kekasaran terlebih dahulu dilakukan oleh pasukan dari Bulgaria itu terhadap JDT

Pergaduhan antara pemain JDT dan Levski Sofia yang berlaku pada minit ke-53.
‘Tak boleh terima hakikat kelab kecil dari Asia mendahului’-TMJ
PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan mengenai insiden yang berlaku dalam aksi persahabatan menentang kelab Bulgaria, Levski Sofia yang terpaksa ditamatkan awal pada minit ke-54.
Menurut Tunku Ismail, pasukan lawan mungkin tidak dapat menerima hakikat kelab kecil seperti JDT sedang mendahului 1-0 selain pengadil dari Serbia gagal mengawal perlawanan.
“Pasukan lawan membuat terjahan tetapi tiada kad kuning. Pemain JDT berdiri beberapa meter dari wall (benteng) pun kena kad kuning. Bagi saya pengadil dari Serbia gagal untuk mengawal permainan.
“Nombor 30 ludah ke muka Leandro dan sepak Leandro tetapi tiada kad. Dari situ mulanya permainan jadi lebih agresif.
“Mungkin mereka tak boleh terima hakikat kelab kecil dari Asia mendahului 1-0 menentang kelab dari Eropah,” kata TMJ.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jebel Ali Centre of Excellence di Dubai pada Sabtu menyaksikan JDT berjaya mendahului pada minit ke-24.
Susulan ketinggalan, Levski Sofia bermain secara agresif untuk mencari gol penyamaan sehingga tercetus pergaduhan pada minit ke-53 sebelum mereka memboikot perlawanan.
Pasukan itu melalui hantaran di laman Instagram mereka mendakwa JDT tiada semangat kesukanan menyebabkan mereka memboikot perlawanan itu.
Tindakan Levski Sofia tidak meneruskan perlawanan menyaksikan JDT diberikan kemenangan dalam aksi persahabatan itu.
https://youtu.be/6nLsvxuIEKM
sinar harian