Uncategorized

“Boleh tanya mana suami”-Janna Nick Akhirnya Tunjuk Terus Skrip Yg Patut Dia Tanya Dlm Famili Duo

PELAKON dan pengacara Janna Nick meluahkan rasa bengang apabila ada yang menuduhnya menjadi punca perbalahan antara peserta Famili Duo iaitu Fyna Jebat dengan madunya, baru-baru ini.

Kata Janna atau Nurul Jannah Muner, 27, apa yang membuatkan dia lebih kesal apabila ada rakan artis turut mengaitkan namanya seolah-olah dia menjadi punca berlakunya konflik rumah tangga penyanyi berkenaan.

“Saya okey kalau yang mengata itu adalah netizen. Tapi bila ada pelakon veteran dalam industri yang menuduh secara membabi buta dan konon saya sengaja nak sakitkan hati isteri pertama kepada si polan, saya jadi marah.

“Walhal saya langsung tidak tahu akan kewujudan isteri pertama dan masalah rumah tangga yang dilalui mereka. Konon saya pula punca berlakunya kejadian tarik-menarik rambut,” katanya.

Janna menjelaskan mengenai perkara itu menerusi laman Instagram miliknya pada Rabu.

Bersama hantaran tersebut, dia turut memuat naik satu klip rakaman temu bual bersama Fyna ketika program Famili Duo berlangsung pada Ahad lalu.

Ketika rancangan tersebut berlangsung, Janna secara bergurau bertanyakan kepada Fyna adakah dia sukar tidur malam disebabkan menemani suaminya iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan menonton perlawanan bola sepak.

Soalan tersebut dipercayai sekadar usikan kepada Fyna selepas kisah pernikahan dia dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan itu menjadi bualan netizen.

Sementara itu, Janna memberitahu soalan peribadi sedemikian adalah perkara biasa memandangkan rancangan berkenaan berkonsepkan kekeluargaan.

“Rancangan Famili Duo memang berkonsepkan keluarga. Memang soalan tentang suami, anak, isteri, ibu dan ayah acap kali ditanya. Tambah lagi kalau suami mereka agak dikenali.

“Saya juga memohon maaf secara terbuka kepada isteri pertama tersebut sekiranya gurauan itu telah pun menyakitkan hati. Sebagai pengacara, saya akui segala kekurangan adalah kelemahan saya sendiri dan yang baik itu dari Allah,” ujarnya.

Dalam perkongsiannya itu, Janna turut memuat naik paparan skrip yang telah disediakan oleh produksi mengandungi soalan-soalan yang perlu ditanyakan kepada peserta program berkenaan.

Janna menunjukkan paparan skrip yang perlu dibaca sebagai pengacara.

Pada Isnin lalu, media melaporkan tentang pergaduhan Fyna atau nama sebenarnya Syafinaz Jebat dengan isteri pertama kepada Zainal iaitu Datin Zalina Zaini.

Kejadian berlaku di sebuah restoran di Seksyen 9, Shah Alam selepas tamat program Famili Duo yang berlangsung di Plaza Alam Sentral.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim punca pergaduhan tersebut bermula apabila Zalina mengeluarkan kata-kata kesat kepada Fyna.

Isteri pertama itu didakwa menarik rambut madunya hingga membawa kepada pergaduhan dan pertengkaran di luar premis berkenaan.

Hasil siasatan mendapati, suspek (isteri pertama) marah kepada penyanyi berkenaan kerana telah berkahwin dengan suaminya tanpa pengetahuannya.

Sumber : MSTAR ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *