Hiburan

Caj pengendalian telur RM3 untuk setiap papan telur , ini reaksi Persatuan Pengguna Kedah

Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menyifatkan tindakan sebuah kedai runcit di Mukim Naga, di sini yang mengenakan caj pengendalian RM3 untuk setiap papan telur seperti tular di media sosial tidak sepatutnya berlaku.

Isu itu timbul semalam selepas seorang pengguna Facebook (FB) berkongsi resit pembelian telur termasuk caj pengendalian sebanyak RM6 bagi dua papan telur gred D.

Tindakan peniaga kedai terbabit turut mendapat kecaman warganet.

Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tindakan peniaga itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa dan tidak masuk akal.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa isu ini ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya tindakan segera diambil.

“Saya nampak dalam hal ini seperti ada yang ambil kesempatan dan berharap tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

“Caj pengendalian telur ini tidak perlu ada dalam apa akta sekali pun dan ianya dikira seperti caj tersembunyi malah pengguna boleh membuat laporan melalui CAKE atau terus kepada KPDN untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ALOR SETAR 09 JANUARI 2023. Resit yang ditular di laman sosial FB memaparkan caj pengendalian telur yang tidak sepatutnya dikenakan kepada pengguna.NSTP/Tular FB

Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya berharap peniaga tidak mengambil kesempatan ketika isu telur sedang hangat diperkatakan ketika ini untuk mengenakan caj yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata, pengguna boleh membuat aduan menerusi laman sosial FB CAKE atau emel serta membuat laporan di pejabat KPDN berhampiran.

Pemborong telur kenakan caj pengendalian dikenakan tindakan

Klang: Sebelum ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan notis dan memberi tempoh sehingga 21 Oktober ini kepada seorang pemborong telur di Meru yang mengenakan caj pengendalian kepada pembeli.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata, tindakan ke atas pemborong itu diambil selepas pemeriksaan dibuat susulan tular di media sosial berhubung caj pengendalian jualan telur ayam Gred AA sebanyak 60 sen yang dikenakan oleh pemborong terbabit.

“Premis yang diperiksa diberikan suatu Notis Bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 kerana mengenakan caj pengendalian 60 sen bagi setiap bekas telur ayam gred A dan B yang dibeli oleh pembeli.

“Tempoh maklum balas adalah sebelum atau pada 21 Oktober ini. Premis diperiksa perlu mematuhi notis berkenaan dan jika gagal, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011.

“Kami memberikan peringatan agar peniaga tidak mengenakan caj tambahan yang tidak munasabah ke atas telur ayam dan ayam yang masih di bawah barangan harga maksimum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi jam 10.30 pagi tadi, pemeriksaan mendapati premis itu mendapat bekalan telur daripada pengeluar atau pembekal telur ayam dari Melaka.

“Premis diperiksa turut dikenakan caj pengendalian pembelian telur ayam oleh pengeluar atau pembekal bagi setiap bekas telur ayam yang dibeli.

“Setiap bekas dikenakan caj pengendalian oleh pengeluar atau pembekal sebanyak 60 sen.

“KPDNHEP Selangor sudah membuat tindakan dan siasatan susulan dengan kerjasama KPDNHEP Melaka untuk memberikan notis kepada pembekal terbabit,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan adalah peringkat pemborong yang menjual telur ayam pelbagai gred (Gred AA, A, B, C dan D) kepada peruncit.

“Urus niaga hanya membabitkan dengan peniaga sahaja. Tiada urus niaga dilakukan dengan pengguna,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang dibuat di Facebook Meru Klang Residents Official yang mendakwa premis terbabit mengenakan caj pengendalian kepada pengguna sebanyak 60 sen malah sebelum ini, kotak telur juga dikenakan caj.

KREDIT: SINAA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *