P0lis dedah punca sebenar keb4karan, Jakel tanggung rugi hampir RM100 juta

KEBAKARAN yang menyebabkan bangunan tiga tingkat milik Jakel di Seksyen 7, Shah Alam, musnah dijilat api dipercayai akibat litar pintas.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan, pada Ahad.

“Punca kebakaran dipercayai litar pintas dari premis tersebut.

“Jumlah kerugian masih belum diketahui,” katanya sambil menambah, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Ujar Mohd Iqbal, pihaknya menerima maklumat awam kira-kira pukul 7.10 pagi berhubung kebakaran itu.

Pihak bomba yang dihubungi menggerakkan sembilan buah jentera ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Sementara itu, memetik laporan Kosmo, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata kebakaran berkenaan mengakibatkan kerugian yang dianggarkan hampir RM100 juta.

Ujarnya, syarikat memperoleh keuntungan kira-kira RM300 juta setahun menerusi hasil jualan di cawangan berkenaan.

“Bangunan ini nilainya sekitar RM100 juta membabitkan 19 rumah kedai dan lima rumah kedai lima tingkat,” ujarnya sambil menambah, beliau mengetahui mengenai kebakaran berkenaan selepas dimaklumkan adiknya.

Mohamed Faroz juga berkata, beliau yakin ada hikmah di sebaliknya insiden berkenaan dan reda dengan apa yang berlaku.
Terdahulu, mStar melaporkan Wisma Jakel di Shah Alam dijilat api pada pagi Ahad.

Kejadian tersebut mengejutkan orang ramai yang lalu lalang di kawasan Seksyen 7 Shah Alam, Selangor tatkala melihat kepulan asap tebal dan api marak dengan begitu cepat.

Difahamkan, kebakaran itu memusnahkan bahagian dalam bangunan lot kedai tiga tingkat.

Video dan foto di lokasi kejadian turut dikongsikan orang ramai di media sosial

kredit:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *