Uncategorized

Pelancong Slumber Berbikini di Pulau Besar… Ini Teguran Prof Ridhuan Tee Buat Ramai Setuju

APAKAH hanya kerana sesebuah tempat itu ada sejarah tamadun Islam maka maksiat tidak boleh dilakukan? Adakah maksiat boleh berleluasa di tempat tiada sejarah Islam? Pemahaman Islam apakah begitu?

Demikian soal pendakwah bebas Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee berhubung insiden tular pelancong asing berbikini di Pulau Besar, Melaka, baru-baru ini.

“Sama seperti tidak boleh mengumpat pada bulan puasa, pada bulan lain, boleh pula mengumpat? Jika inilah Islam, saya tidak akan masuk Islam! Seolah-olah Islam ada dualisme, boleh lakukan maksiat di tempat tertentu, tidak boleh di tempat tertentu? Ini Islam apa? Islam kapal selam?

“Saya cukup teruja membawa berita Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) akan mengadakan mesyuarat dengan agensi berkaitan bagi membincangkan tindakan boleh diambil, selepas sekumpulan pelancong asing dirakam berbikini di Pulau Besar yang disifatkannya mencemarkan imej dan kesucian pulau itu.

“Tahniah saya ucapkan atas tindakan ini. Jaim berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pelancong bukan Islam kerana Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk umat Islam,” ujar Ridhuan Tee.

Ridhuan Tee bersuara mengenai isu pelancong berbikini di Pulau Besar.

Difahamkan, Jaim bakal membincangkan apakah tindakan terbaik boleh diambil terhadap pelancong asing yang merosakkan imej serta kesucian Pulau Besar yang selama ini dihormati dengan nilai-nilai sejarah bermulanya tamadun Islam.

Jaim mengulas video tular tiga minit menunjukkan sekumpulan pelancong wanita asing berkelah dan mandi-manda di Pulau Besar dengan hanya berbikini.

Jaim juga akan mengambil langkah proaktif seperti mencadangkan Majlis Bandaraya memasang lebih banyak papan tanda mengingatkan pelancong sentiasa berpakaian sopan dan tidak melakukan aktiviti bertentangan ajaran Islam di pulau itu, termasuk membawa arak.

“Katanya, mungkin ada pelancong tidak tahu sejarah Islam di Pulau Besar. Kenapa baru sekarang? Kenapa hanya di Pulau Besar, tidak di seluruh negara? Adakah ini membawa makna, di Pulau Besar tidak boleh bermaksiat, di tempat lain (negeri lain) boleh?

“Ini negara kita, negara Islam, negara timur, negara yang ada adab dan tatasusila selaras dengan prinsip Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan. Cuba jawab, agama apa yang menghalalkan berbikini? Begitu juga perkara yang diharamkan Islam, termasuk arak, judi, pelacuran dan lain-lain lagi.

“Kenapa Qatar dan Brunei, sebuah negara Islam kecil sahaja, begitu tegas, boleh menguatkuasakan undang-undang di negara mereka sendiri, kita tidak boleh? Ini rumah kita, bukan rumah orang lain? Kita pergi ke rumah orang (negara lain) kita hormati mereka, kenapa orang lain tidak boleh hormati rumah (negara) kita?” ujarnya lagi.

Menurut Ridhuan Tee, dia juga kagum dengan Qatar yang tegas mendukung prinsip mereka sewaktu penganjuran Piala Dunia 2022 baru-baru ini.

bikini1

Insiden di Pulau Besar turut mendapat perhatian JAIM.

“Saya cukup kagum dengan negara kecil, Qatar ketika menjadi tuan rumah Piala Sunia, boleh membuat peraturan, sehingga dihormati oleh orang luar seluruh dunia. Qatar berjaya menjadi bola dunia, menjadi simbol dakwah. Ini baharu betul Islamnya.

“Hairannya, negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan tidak boleh lakukannya, atas dasar hak asasi manusia. Jika alasan Melaka, sebagai pusat tamadun Islam, maka tidak boleh berbikini, adakah itu bermakna negeri-negeri yang ‘tidak ada sejarah tamadun Islam’ boleh berbikini?

“Bagaimana dengan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis? Ada yang turun daripada kapal terbang (juga merata tempat), pakaian seolah-olah seperti berbikini, terutama saudara sebangsa saya, orang Cina. Seluar pendek yang dipakai dengan baju tanpa lengan, sudah menampakkan yang tersurat dan tersirat.

“Amat malang sekali apabila kita lebih Barat daripada Barat. Negara Barat, ada had-had juga yang kadangkala boleh ‘dipuji’. Contoh, berbikini hanya dibenarkan di kolam mandi dan tepi pantai, naik ke darat, mereka wajib mengeringkan badan dan memakai pakaian bersopan sebelum menaiki lif atau kembali ke tempat penginapan. Mereka tidak boleh naik lif berbikini,” kata Ridhuan Tee lagi.

Jelasnya, situasi itu jauh berbeza dengan tempat kita yang seolah-olah takut untuk menguatkuasakan undang-undang sedemikian.

“Kita di sini, dengan bikini-bikini naik lif, buat selamba. Di tempat awam, pakaian mereka macam bikini. Apa nak jadi dengan negara Islam ini? Kenapa kita begitu takut menguatkuasakan undang-undang di tempat kita sendiri. Kenapa kita tidak boleh setegas Qatar dan Brunei. Ini negara kita, bukan negara Barat. Negara Barat pun ada hadnya.

Ridhuan Tee memuji Qatar yang berani menguatkuasakan undang-undang di negara mereka. Foto: REUTERS/Hamad I Mohammed.

“Saya dikhabarkan anak-anak muda kita yang berada di pulau pelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan lain-lain, sudah menjadi langganan pelancong untuk melakukan seks dengan mereka? Ini melibatkan anak-anak Melayu Islam? Pergilah siasat. Ini tidak termasuk lagi anak-anak muda dan artis kita yang menyambut Krismas dan Tahun Baharu.

“Sekadar mengingatkan, termasuk diri sendiri, Islam adalah Islam. Haram dan halal adalah jelas. Tidak timbul haram di sini, halal di sana, kecuali dalam beberapa keadaan seperti darurat. Fahamilah Islam secara syumul. Jangan sampai orang keliru dengan Islam,” ujarnya lagi.

Di akhir bicara, Ridhuan Tee sekali lagi mengangkat Qatar sebagai contoh terbaik yang mampu menyebarkan dakwah Islam melalui penganjuran kejohanan bola.

“Contohilah Qatar. Tegas. Berjaya menukar maksiat menjadi dakwah. Islam tersebar seantero dunia hanya kerana sebiji bola. Kita masih terus membahaskan soal bikini, judi dan arak, sama ada ia boleh atau tidak?

“Sedangkan ia sangat jelas haramnya. Insaflah wahai pemimpin negaraku. Jangan kerana kemarukkan undi, kita halalkan semuanya, sedangkan ia haram pada pandangan agama kita, juga agama lain.

“Sesungguhnya yang halal terlalu banyak, kenapa sedikit yang haram, terlalu takut untuk diselesaikan secara tuntas, sedangkan agama lain pun mengharamkan juga?” kata Ridhuan Tee lagi.

kredit: mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *