SHAH ALAM – Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengambil perhatian serius terhadap tindakan seorang jurulatih yang bertindak menampar dua pemain bola tampar perempuan dalam video tular baru-baru ini.
Lembaga Disiplin MAVA dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, insiden itu membabitkan jurulatih daripada pasukan Melaka Bawah 14 Tahun yang menyertai Kejohanan Bola Tampar Remaja B-14 di Kota Tinggi Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.
“MAVA telah mengambil langkah untuk menubuhkan satu badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta merta. MAVA juga akan berhubung dengan pihak-pihak yang berkaitan serta pihak berkepentingan
“MAVA sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekasaran ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan MAVA.
“Buat masa kini, jurulatih yang berkenaan telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai,” katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan mengenai satu video tular memaparkan tindakan individu dipercayai jurulatih sebuah pasukan bola tampar yang menampar pemainnya.
Dalam video yang disiarkan secara penstriman langsung di Facebook itu, jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemainnya yang menyebabkan pasukan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.

Jurulatih tampar pemain: Hentikan segera jika sudah jadi budaya
SHAH ALAM – Insiden jurulatih menampar pemain bola tampar perempuan di peringkat sekolah tidak sepatutnya berlaku dalam industri pembangunan sukan di Malaysia, kata Timbalan Ketua Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, perbuatan sedemikian perlu dihentikan dengan segera sekiranya ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya dalam mana-mana sukan di dalam negara.
Jelas beliau, kekerasan tidak menjamin prestasi cemerlang sebaliknya memberikan tekanan yang akhirnya memberikan kesan terhadap tahap mental atlet terbabit.
“Sukan adalah satu bidang yang sihat. Kita tidak boleh membiarkan budaya begini menular di dalam bidang sukan. Menjadi adat pertandingan ada kalah dan menang.
“Sebagai seorang jurulatih, beliau sepatutnya menerima apa sahaja keputusan dengan terbuka dan menjadikan ia sebagai satu panduan untuk melatih pasukan serta mengenal pasti kelemahan pasukan beliau.
“Jika seorang jurulatih tidak boleh mengawal emosi dan menjadi profesional terhadap anak didik, beliau tidak layak untuk menjadi jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.
kredit:sinar harian