Kuala Lumpur: Berdiam diri lebih baik daripada berkata-kata. Itu pendekatan mungkin diambil jurulatih berpengalaman, Datuk Zainal Abidin Hassan dan penyanyi, Fina Jebat berhubung perkahwinan mereka yang kini tular di media sosial.
Malah, kedua-dua individu itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menerangkan situasi sebenar sama ada mereka sudah berkahwin atau sebaliknya.
Ini kemungkinan penangan apa yang terjadi kepada pengarah filem kontroversi, Syamsul Yusof yang mengesahkan sudah menikahi pelakon Ira Kazar di Thailand menyebabkan mereka mengambil tindakan terbabit.
Tinjauan Arena Metro di Instagram (IG) milik Fina, mendapati dia tidak memuat naik sebarang gambar atau kenyataan yang boleh mengaitkannya dengan perkahwinan bersama Zainal Abidin.
Malah, usaha menghubungi Zainal Abidin gagal apabila panggilan telefon dan kiriman WhatsApp tidak berjawab itu merungkai persoalan berkaitan situasi terbabit.
Selain itu, kawan rapat kepada bekas pengendali Penang FC itu mengambil pendekatan berdiam diri dengan meminta bertanya kepada ‘tuan badan’ mengenai perkahwinan pasangan itu.
“Saya tidak mahu kata tidak atau ya mengenai perkahwinan terbabit, namun mahu ‘tuan badan’ terangkan situasi sebenar.
“Namun, jika beliau berdiam diri mungkin betul apa yang diperkatakan oleh orang ramai,” kata bekas rakan sepasukan Zainal Abidin bersama skuad kebangsaan ketika era 1990-an.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan seorang bekas jurulatih Liga Super berusia 60-an membuktikan beliau masih lagi laku selepas berkahwin kali kedua dengan wanita berusia 29 tahun.
Wanita yang dikahwini itu bukanlah calang-calang kerana dikhabarkan adalah seorang artis yang juga adik kepada pelakon dan penyanyi terkenal tanah air.
Menurut sumber, pasangan terbabit berkahwin baru-baru ini namun hanya diketahui individu dan ahli keluarga terdekat saja.
Jurulatih berkenaan berkahwin kali pertama pada tahun 1980-an dan dikurniakan tiga anak.

KHALID (kanan) nasihatkan Zainal supaya kuat menempuhi dugaan ini. FOTO ARKIB NSTP
Kesian Zainal, hormati privasi dia – Khalid
Abang kepada Datuk Zainal Abidin Hassan iaitu Khalid Ali memohon semua pihak agar menghormati privasi adiknya yang didakwa melangsungkan perkahwinan dengan seorang artis tempatan.
Jelas Khalid, pihak yang mengeluarkan cerita itu sepatutnya mendapatkan kebenaran bekas jurulatih Penang FC itu terlebih dahulu.
“Apa yang berlaku ini hanya boleh dijawab oleh Zainal saja. Kesian adik saya itu, disebabkan isu ini rumah tangganya ada masalah pula.
“Kepada pihak pegawai agama itu perlulah bertanggungjawab. Apapun saya tak nak komen lebih, biarkan tuan punya badan yang mengesahkan atau tidak.
“Cuma saya boleh katakan, jodoh itu di tangan Tuhan. Saya ada nasihat kan dia (Zainal) supaya kuat tempuh dugaan ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan seorang bekas jurulatih Liga Super berusia 60-an membuktikan beliau masih lagi laku selepas berkahwin kali kedua dengan wanita berusia 29 tahun.
Susulan itu, ia menjadi perbualan hangat di media sosial terutama di beberapa portal yang ‘memetik’ nama Zainal yang dikatakan mengahwini adik kepada Ayda Jebat iaitu Fina Jebat yang pernah menyertai sebuah rancangan realiti televisyen swasta.
Walaupun tiada pengesahan atau pengakuan daripada kedua-dua pihak, netizen dan beberapa portal sukan serta hiburan memberi bayangan individu dimaksudkan itu adalah Zainal dan Fina.