Kuala Lumpur : “Saya tak faham kenapa netizen kata kekasih saya itu ilusi? Saya tahu ramai yang menghina kerana saya dah tua, sakit dan cacat.
“Suruh saya tak payah bercinta dan susahkan orang? Kenapa korang nak kumpul dosa?” kata penyanyi, Bad Indigo mengenai dakwaan netizen yang menuduhnya sekadar berilusi memiliki teman wanita.
Ini berikutan tindakan Bad berkongsi video mengenai kekasihnya di Instagram dengan hanya menayangkan sipi-sipi wajah wanita itu.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, berkata, dia ada sebab kenapa tidak mahu menunjukkan wajah kekasihnya itu.

“Saya mahu berkongsi kebahagiaan dengan ‘followers’ (pengikut) dan kawan-kawan. Saya sudah lama berkecimpung dalam industri seni. Biarlah orang nak cakap apa pun,” katanya.
BAD berkongsi sebahagian wajah wanita yang juga kekasih barunya itu.
Menurut Bad, dia bukan tidak mahu mendedahkan wajah kekasihnya itu tetapi mahu mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Saya tidak mahu ada orang dengki atau sakit hati. Saya juga mahu menjaga hati pihak sebelah sana supaya tidak tertekan dengan perkara seperti ini,” katanya.
Mengenai perkahwinan pula, Bad berkata, dia mahu fokus pada kesihatannya dulu.
“Saya mahu kuatkan kaki dan berjalan semula. Saya juga belum tawar hati nak berkahwin lagi dan mahu menamakan zaman solo juga,” katanya.
Terdahulu, perkongsian Bad meraih perhatian ramai apabila penyanyi itu berkongsi sudah bertemu pengganti selepas bercerai dengan penyanyi, Ashira pada Jun tahun lalu.
Bad dan Ashira mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021.
Bad Indigo dedah cerai isteri sebab diri sendiri
Terdahulu Penyanyi Bad Indigo mendedahkan penceraiannya bersama bekas isteri, Ashira Aziz berpunca dari dirinya yang tidak bersikap jujur sejak awal perkahwinan.
Takut kehilangan Ashira jika mendedahkan mengenai penyakit yang dihadapi, Bad atau nama penuhnya Badrul Izhan Yeop Abdullah menyesali tindakan yang diambilnya itu.
“Punca penceraian adalah kerana saya tidak bersikap jujur terhadap Ashira sejak awal perkahwinan. Bukan membabitkan orang ketiga atau sebagainya, namun saya tidak berterus terang mengenai penyakit yang saya alami.
“Mungkin saya tidak menyedari kepentingan berkongsi mengenai perkara itu, sebaliknya tidak bersikap berterus-terang kerana takut akan kehilangannya. Jadi, bukan berpunca daripada dia tidak mahu menjaga saya dan sebagainya.
“Memandangkan kami tidak berkongsi punca penceraian, ramai yang menyalahkan Ashira dan terus mengecamnya. Jangan menuduh tanpa mengetahui pucuk pangkal cerita.
“Berhentilah menghentam dan mengecamnya kerana Ashira juga berhak untuk bahagia sama seperti orang lain. Saya yang bersalah dalam hal ini dan berhentilah menyalahkan Ashira,” katanya.
Bad menolak cakap-cakap negatif mengenai pendapat sesetengah pihak yang mendakwa perceraiannya bersama Ashira disebabkan bekas isterinya itu yang tidak mampu untuk berdepan dengan masalah kesihatan yang dihadapinnya.
Bad menjelaskan, ramai yang ingin mengetahui punca sebenar perceraian mereka kerana ada yang menganggap pengumuman yang dilakukan oleh mereka seolah-olah tergantung dan tidak bertitik noktah.
Tambah Bad, tiada istilah bekas isteri berpisah kerana tidak tahan untuk menjaga dirinya yang sedang sakit.
Katanya, netizen akan mencari punca sebab mereka bercerai kerana cerita mereka selepas berpisah dilihat seolah-olah tidak ada penutup.
kredit: hmetro