KUALA LUMPUR: Insiden dimarahi juri tetap program realiti, Famili Duo, Mas Idayu ketika konsert minggu keenam cukup membekas dalam diri penyanyi sensasi, Sissy Imann.
Larut dengan kekecewaan, Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, 28, membuat keputusan drastik membatalkan majlis pelancaran album solo yang sudah dirancang, selain menjual album berkenaan dengan harga RM20.
Bagaimanapun, tindakan penyanyi Mungkin Kamu itu mengadakan majlis pelancaran album yang dirakamkan di The Abbey Road Studios, London, United Kingdom umpama cakap tak serupa bikin dan gimik murahan semata-mata, baru-baru ini.
Ada yang mempersoalkan keputusan mengadakan majlis pelancaran album seperti menjilat ludah sendiri, Sissy menjelaskan, keputusan melancarkan album dibuat atas kehendak keluarga.
“Ayahanda, bonda, abang dan adik memberi sokongan atas apa yang berlaku. Album ini dihasilkan dengan kos sendiri. Kiranya, ini adalah bisnes keluarga.
“Tak dinafikan, saya tak dapat kawal perasaan disebabkan terlalu kecewa dengan diri sendiri. Sejujurnya, sampai sekarang saya masih terkenang insiden ini.
“Jadi, kalau boleh saya tidak mahu lagi bercerita mengenainya,” katanya kepada BH Online.
Mengulas kontroversi yang tercetus membabitkannya dan Mas Idayu sebagai gimik untuk melariskan album, Sissy berkata, apa yang berlaku bukanlah kali pertama dilaluinya.
“Saya ada pengalaman sama sebelum ini, jadi saya sukar mengawal perasaan. Secara kebetulan, banyak tekanan yang terpaksa dihadapi, minggu berkenaan.
“Jika nak kata gimik, sudah tentu tidak. Tetapi, apa yang berlaku ada hikmah. Secara tidak langsung, orang mula tahu mengenai saya.
“Kalau nak buat gimik, lebih baik saya menjual album ini dengan harga RM150. Alang-alang orang simpati, baik gunakan kesempatan ini, jadi tidaklah saya tanggung kerugian,” katanya.
Sissy berkata, dia bersyukur cetakan pertama album sebanyak 1,000 unit licin dijual dalam tempoh yang singkat.
“Saya bercadang menambah 1,000 unit, tetapi harganya tidak sama, kembali kepada harga asal RM50.
“Kos pembikinan album menelan belanja ratusan ribu ringgit, namun saya terlalu terikut emosi ketika membuat keputusan menjual album ini dengan harga murah.
“Selepas insiden malam itu, saya bangun pagi dan nampak album berkenaan.
“Tiba-tiba saya gagal kawal emosi dan melemparkan album ke bawah meja. Selepas perasaan sedih kembali reda, saya kutip semula album dan terus muat naik entri di Instagram (IG) memaklumkan saya nak menjualnya dengan harga RM20,” katanya.
Tambah Sissy, dia buat keputusan tanpa berbincang dengan keluarga.
“Memang keluarga menghalang, tetapi saya sudah pun beritahu pada khalayak mahu menjualnya dengan harga rendah. Jadi, keluarga pun tak boleh buat apa-apa.
“Bagaimanapun, kesedaran mula timbul selepas saya dimarah rakan artis, Shaffiq Erwin yang saya sudah kenal lama. Jualan sebelum ini tidak menguntungkan kerana kos pembikinan amat tinggi.
“Selepas itu, barulah saya rasa menyesal menjual album dengan harga RM20. Walaupun mungkin harga RM50 tidak membawa keuntungan besar, tetapi saya anggap ia sudah memadai,” katanya.
Terdahulu, album Sissy laris selepas dua jam jualannya dibuka kepada umum. Diterbitkan AG Coco, album itu memuatkan enam lagu dihasilkan Sissy sendiri.

‘Sayang selalu’ Sissy, Mas Idayu tiada sentimen
Tiada lagi sentimen benci mahupun pilih kasih.
Itu yang dapat diselami menerusi adegan pelukan mesra Mas Idayu dan Sissy Imann di pentas akhir Famili Duo, Ahad lalu.
Bukan sahaja menamatkan spekulasi perang dingin kedua-dua susulan insiden air mata, rajuk dan kecaman hebat sejak lebih dua minggu lalu, tindakan tersebut turut membuktikan nilai kasih sayang lebih besar daripada kebencian yang dicanang ramai.
Selain disaksikan regu duo yang juga sepupu penyanyi berusia 27 tahun itu, Naim Daniel, momen menggembirakan usai penyampaian hadiah pertandingan tersebut turut disertai seorang lagi juri, Ajai.
Bukan sekadar dirakam serta dikongsikan peminat yang berada di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Sissy turut berkongsi kenangan bersama Mas Idayu yang dipanggil mummy menerusi Instagramnya.
“Sayang selalu,” luah penyanyi merangkap komposer yang menyertakan gambar penuh erti itu untuk tatapan pengikut laman sosial dan peminat setianya.
Ringkas dan penuh makna, momen tersebut tidak memerlukan kapsyen panjang bagi memperincikan situasi yang pernah tercetus hingga menjadi kontroversi panas dan menuai pandangan ramai selebriti lain.
Hujung minggu lalu, Sissy dan Naim yang kembali ke pentas akhir program terbitan TV3 itu dengan semangat membara meraih pujian kedua-dua juri tetap yang berbangga melihat perkembangan mereka.
Pada malam berkenaan pasangan duo tersebut berada di tangga keempat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
Sementara itu, dalam ruangan komen Instagram pelantun lagu Keliru itu, rata-rata pengikutnya bersyukur dengan kemesraan yang terjalin semula selepas melalui episod panas.
“Bagus Sissy Imann dan Mas Idayu.Netizen sudah-sudahlah. Adatlah emosi,” komen seorang warganet.
“Alhamdulillah, buang yang keruh ambil yang jernih,” kata pengikut lain pula.
“Minta maaf atau memaafkan tak rugi pun. Kita manusia buat yang baik sahaja, lain serahkan pada Allah,” tambah seorang pengguna laman sosial.
Menerusi ruangan komen yang sama, ada dalam kalangan netizen yang turut memuji sikap kedua-dua selebriti tersebut kerana meletakkan ego masing-masing ke tepi. – KOSMO! ONLINE
kredit: bharian