Seorang penyanyi dan pelakon lelaki popular era 1980-an dikatakan bernikah lagi satu secara rahsia.
Difahamkan, isteri barunya ini masih muda dengan jarak usia yang jauh dengan artis terbabit.
Menurut sumber, ramai penduduk berdekatan tempat tinggal mereka mengesyaki sesuatu apabila sering melihat artis lelaki itu di situ.
“Bagaimanapun, mereka enggan menghebohkan perkara ini kerana ia masih samar-samar dan takut menimbulkan fitnah.
“Namun, baru-baru ini ada kejadian membabitkan mereka hingga membawa kepada laporan polis. Menerusi apa yang berlaku, dipercayai artis dan wanita terbabit adalah pasangan suami isteri. Namun, butiran lanjut tidak diketahui,” kata sumber itu.
Namun, ada desas-desus mengatakan rumah tangga mereka sedang bermasalah dan di ambang perceraian.
Bagaimanapun, kehadiran mereka berdua menonton pertandingan nyanyian membabitkan anak mereka yang juga seorang penyanyi wanita popular baru-baru ini menepis dakwaan itu.

BUAT pertama kali semenjak bersaing di pentas GV9, ND Lala dan isteri hadir memberi sokongan buat anak mereka, Shila Amzah pada minggu separuh akhir sebentar tadi.
ND Lala, isteri datang GV9, hapus spekulasi rumah tangga
PETALING JAYA – Selepas 10 minggu bersiaran, penyanyi Datuk ND Lala akhirnya membuat kemunculan bagi memberi sokongan buat Shila Amzah yang bertanding di pentas separuh akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) sebentar tadi.
ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 61, hadir menyaksikan program tersebut bersama isterinya, Datin Fauziah Sarman dan seorang lagi anak mereka, Syada Amzah.
Kelibat penyanyi terkenal era 1980-an itu kerap dirakam kamera kerana duduk di tempat duduk penonton paling depan iaitu belakang kerusi juri.
Sesekali terlihat wajah bahagia dan bangga ND Lala yang popular dengan lagu Syair Cak Pong ketika menyaksikan persembahan penuh bertenaga Shila ketika menyanyikan lagu Sang Dewi sebentar tadi.
Shila sebelum keluar ke belakang pentas usai mengadakan persembahan segmen solo sempat mengucapkan terima kasih buat kedua ibu bapanya.
“Terima kasih papa, mama,” ucapnya ringkas.
Sepanjang Shila bertanding dalam program tersebut, tidak sekali pun kelibat ND Lala yang selama ini menjadi ‘orang kuat’ untuk karier anaknya itu hadir memberi sokongan.
Kemunculan penyanyi itu bersama isterinya pada malam separuh akhir GV9 sebentar tadi sekali gus memadam spekulasi kegoyahan rumah tangga pasangan yang berkahwin pada 1989 itu.
Sekitar Mac lalu, rumah tangga dibina pasangan yang memiliki empat orang cahaya mata itu didakwa goyah apabila mereka dikatakan sudah bercerai.
Ads by Kiosked
Bagaimanapun, Shila tampil menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan, ibu bapanya sedang melalui fasa sukar selepas 33 tahun berkahwin. – KOSMO! ONLINE