SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.
Selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk melengkapkan siasatan, Khamis, Muhyiddin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.
“SPRM mengesahkan telah menahan beliau pada jam 1 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.
“SPRM juga telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023,” ujar SPRM menerusi satu kenyataan.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Muhyiddin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.
Siasat Muhyiddin dituduh bermotif politik, Anwar tanya perlukah lepas semua pemimpin politik rasuah?
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jika semua kes pemimpin politik disiasat atau dihadapkan ke mahkamah dituduh bermotifkan politik, ia bermakna pihak berkuasa tidak lagi boleh mengambil tindakan andai ada pemimpin politik disyaki terbabit rasuah selepas ini.
Serentak itu, Perdana Menteri berkata, adalah tidak benar untuk pihak tertentu mendakwa semua kes membabitkan pemimpin parti politik yang disiasat atau dihadapkan ke mahkamah adalah bermotifkan politik.
“Untuk mengatakan semua kes yang diambil (pemimpin politik disiasat pihak berkuasa) itu ada motif politik, maknanya tak bolehlah (siasat pemimpin politik), tangkap (jika ada) kes-kes rasuah lain (babit pemimpin politik) yang besar-besar, semua lepas?,” soalnya.
Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di sini, hari ini, ketika ditanya berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti diterajui bekas Perdana Menteri itu.
Perdana Menteri turut mengulangi penegasannya sebelum ini bahawa beliau tidak campur tangan dalam kes membabitkan Presiden BERSATU merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang hari ini dipanggil SPRM untuk memberi keterangan, dipercayai berhubung kes salah guna dana awam.
Namun, beliau mengakui memang ada memberi arahan kepada semua agensi berkaitan, termasuk SPRM dan Peguam Negara supaya bertindak terhadap kes yang disyaki ada kaitan dengan salah guna kuasa dan ketirisan dana kerajaan.
“Urusan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa SPRM, tengok kes. Saya tidak campur, tetapi saya beritahu semua agensi termasuk SPRM dan Peguam Negara, tengok kes. Jadi orang setuju atau tak setuju, (kena) tengok kes, apa pendakwaannya, apa pertuduhannya,” katanya.
Dalam kes Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dipanggil SPRM untuk memberi keterangan, Anwar berkata, belum ada apa-apa keputusan dimaklumkan kepada umum mengenai perkara itu setakat ini.
“Belum tahu apa keputusan setakat ini, (Muhyiddin) hanya dipanggil. Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes atau tidak, ini urusan SPRM. Sampai sekarang saya tak tahu apa akhirnya,” katanya.
Justeru, beliau mengajak semua pihak yang mahu negara bersih daripada rasuah, harus melihat kes berkaitan gejala itu secara satu persatu, sama ada setiap kes itu benar-benar pendakwaan politik atau berdasarkan fakta.
“Yang saya sebut selama ini, Jana Wibawa (Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa), tebatan banjir, itu berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan, bukan (dari) SPRM atau Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Ini kali kedua Muhyiddin dipanggil memberi keterangan mengenai Jana Wibawa oleh SPRM selepas kali pertama pada 18 Februari lalu dan bekas Perdana Menteri ketika itu mengeaskan beliau dipanggil sebagai saksi, bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian, SPRM mengesahkan Pengerusi PN itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Kemudian pada 21 Februari, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu, namun mengaku tidak bersalah.
Hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek sama.
Adam Radlan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan ketiga pada 28 Februari di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.
Di Johor Baharu pula, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 22 Februari atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
Jana Wibawa dilaksanakan semasa pandemik COVID-19, kesinambungan Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993. Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika pentadbiran kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
kredit: mstar