PELAKON Hafidz Roshdi mendakwa isterinya iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri tidak mengalami keguguran sebaliknya memilih untuk menggugurkan kandungan anak ketiga mereka yang baharu memasuki usia 14 minggu.
Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mendakwa Shuhada ada menghantar mesej pesanan di WhatsApp miliknya memaklumkan dia hamil dan mahu menggugurkan kandungan tersebut.
Jelas Hafidz, dia juga merayu agar isterinya itu tidak berbuat demikian malah berjanji akan bertanggungjawab terhadap anak mereka meskipun pelbagai masalah melanda rumah tangga mereka.
“Dia ada WhatsApp saya memberitahu dia hamil dan mahu gugurkan kandungan.
Hafidz mahukan penjelasan daripada Shuhada berhubung kehilangan anak ketiga mereka.
“Saya tidak bersetuju dia melakukan pengguguran, saya sudah menghalangnya. Saya ada beritahu padanya agar jaga dia (kandungan) dengan baik dan saya akan bertanggungjawab tapi sebaliknya berlaku.
“Memang sedih apabila dapat tahu tentang keguguran anak ketiga kami,” katanya kepada pemberita.
Hafidz mengulas perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada pagi Selasa bagi sebutan pengesahan lafaz cerai mereka bagaimanapun kes itu ditangguhkan pada 20 Jun depan.
Tambah Hafidz, Shuhada ada memberitahu kepadanya dia ingin menggugurkan kandungan tersebut kerana ingin memulakan kehidupan baharu.
Hafidz berkata, dia hanya mengetahui Shuhada mengalami keguguran pada 5 Mei lalu selepas dimaklumkan oleh peguamnya selepas menerima surat daripada pihak Shuhada mengatakan dia mengalami keguguran pada hari raya kedua iaitu 23 April 2023.
“Dia nak fokus dengan kehidupan baru dia. Dia pun ada kata, dua (orang anak) pun setengah mati nak jaga, apatah lagi tiga,” ujarnya.
Dia ada WhatsApp saya memberitahu dia hamil dan mahu gugurkan kandungan.
Dalam pada itu, kata Hafidz, selepas Shuhada memberitahu mahu menggugurkan kandungannya, dia membuat laporan polis termasuk satu lagi laporan selepas dia dimaklumkan tentang keguguran dialami isterinya itu.
Jelasnya, sebagai bapa dia berhak di bawah undang-undang untuk mendapat penjelasan sebaiknya daripada Shuhada berhubung perkara itu.
“Saya berasa amat sedih atas berita kononnya Shuhada telah mengalami keguguran dan dia tidak memaklumkan mengenai perkara itu.
“Selain laporan polis, saya turut meminta peguam untuk menulis surat kepada peguam Shuhada untuk mendapatkan kepastian berkenaan punca dan sebab sebenar kononnya Shuhada mengalami keguguran.
Pergolakan rumah tangga pasangan ini masih belum berakhir.
“Ini termasuk dokumen-dokumen berkaitan dengannya untuk penelitian dan tindakan lanjut,” katanya.
Menerusi laporan media sebelum ini, Shuhada menyangkal tuduhan dia sengaja menggugurkan kandungan tersebut sebaliknya memberitahu tekanan selain tidak mengambil ubat anti-kemurungan menyebabkan dia mengalami keguguran.
Dalam perkembangan sama, peguam mewakili aktor itu, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, pihaknya terus berhubung dengan peguam Shuhada selepas wanita itu memaklumkan hasrast menggugurkan kandungannya.
“Selepas Hafidz terima WhatsApp tentang hasrat menggugurkan kandungan, kami terus maklumkan kepada peguam Shuhada serta-merta sebelum membuat laporan polis pertama sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Selepas itu, dapat berita Shuhada sudah keguguran dan anak guam saya terperanjat sebelum membuat laporan polis kedua kerana berpendapat perkara itu adalah satu kesalahan jenayah.
“Buat masa ini, kami akan tunggu tindakan pihak polis mengenai hal ini,” jelasnya.

“Bayi dalam rahim saya, takkan nak gugur?” Shuhada tak sangka Hafidz sendiri memfitnah
ISTERI kepada Hafidz Roshdi tidak menyangka pelakon itu tergamak memfitnah dengan menuduh dia sengaja menggugurkan kandungan.
Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, berkata, tidak pernah terlintas di dalam fikirannya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu malah sudah memberikan nama buat cahaya mata ketiga mereka iaitu Uwais.
“Semua maklum saya keguguran dan warganet ada bertanya siapa yang memfitnah saya (melakukan pengguguran). Bukan netizen sebaliknya yang fitnah saya adalah dia sendiri (Hafidz).
“Takkanlah saya mahu gugurkan! Saya yang mengandung, bayi ini dalam rahim saya… anak-anak kami pun sudah bagi nama untuk adik mereka iaitu Uwais,” katanya kepada pemberita.
Hafidz membuat dua laporan polis terhadap Shuhada atas dakwaan menggugurkan kandungan.
Shuhada berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada pagi Selasa bagi sebutan kes pengesahan lafaz cerai.
Dalam pada itu, Shuhada memberitahu dia maklum dengan dua laporan polis dibuat Hafidz terhadapnya namun masih belum berkesempatan ke balai polis untuk memberi keterangan.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga enggan mengulas semua dakwaan termasuklah Hafidz menuduhnya menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan mahu menggugurkan kandungan kerana masih belum memberi kenyataan kepada polis.
“Kes ini masih dalam siasatan lagi sebab saya pun belum beri kenyataan kepada pihak polis dan akan pulang ke Perlis hari ini (Selasa) untuk beri kenyataan di Balai Polis Kangar,” ujarnya.
Takkanlah saya mahu gugurkan! Saya yang mengandung, bayi ini dalam rahim saya.
Sementara itu, Shuhada berkata, dia sudah bersedia menamatkan segala kemelut rumah tangganya namun reda apabila mahkamah menangguhkan kes pengesahan lafaz cerai Hafidz pada 20 Jun depan.
Disebabkan itu juga kata Shuhda, dia tampil bergaya ke mahkamah kerana tidak mahu bersedih dan menyangka kes penceraian mereka boleh diselesaikan hari ini.
“Saya memang sudah sedia untuk perbicaraan namun kesal kerana tidak menemui jalan penyelesaian sebaliknya kes ditangguhkan.
Shuhada akan pulang ke Perlis untuk memberi kenyataan di balai polis.
“Saya hari ini pun dah pakai cantik-cantik datang mahkamah dan sedia tetapi mereka minta tangguh. Saya dan peguam pun terkejut.
“Apa lagi yang nak dipanjangkan, dia (Hafidz) ada pilihan dia sendiri. Allah maha baik dan sebaik-baik perancang. Saya tidak mahu menangis lagi. Saya serahkan segalanya pada Allah,” ujarnya.
Peguam mewakili Shuhada iaitu Nurfarhana Abd Manaf pula memberitahu pihaknya sudah bersedia dengan perbicaraan pada Selasa meskipun baru meneruma jawapan pembelaan daripada Hafidz pada Isnin.
Kata Nurfarhana, Shuhda juga sedia memberi keterangan secara lisan namun pihak plaintif meminta ia dibuat secara bertulis.
Hafidz Shuhada
Kemelut rumah tangga pasangan ini masih belum menemui jalan penyelesaian.
“Mahkamah beri peluang kepada kedua-dua pihak memberi keterangan secara bertulis dan perbicaraan disambung pada 20 Jun depan,” katanya.
Pada 21 Mac lalu, Shuhada mendakwa suaminya itu pernah melafazkan cerai sebanyak dua kali sebelum ini.
Katanya Hafidz pernah melafazkan talak menerusi mesej pesanan Whatsapp selain melalui panggilan telefon masing-masing pada 22 Januari 2023 dan 22 Februari 2023.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu selain Humairah ialah Umar yang kini berusia 2 tahun.
kredit: mstar