Doa cinta disertai iman bawa ke syurga, Ini 8 info menarik tentang Essam Muhammad suami Mizz Nina

PENYANYI rap Essam Muhammad menyifatkan pertemuannya dengan isteri iaitu Mizz Nina berlaku pada masa yang tepat selain disusun Allah SWT dengan cukup sempurna.

Essam yang berasal dari Seattle, Amerika Syarikat berkata, dia juga percaya dipertemukan jodoh dengan Nina atau Shazrina Azman, 43, mempunyai hikmah tersembunyi dan terbaik buat dirinya.

“Perjalanan ini benar-benar luar biasa sebab Allah sentiasa memberi kita apa yang diperlukan dalam kehidupan pada masa yang tepat.

“Kadang-kala seseorang rasa tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri tetapi sesungguhnya Yang Maha Bijaksana akan menunjukkan kepada kita dengan cara yang tidak disangka-sangka,” katanya.

Pasangan ini mengumumkan sudah melangsungkan perkahwinan pada malam Khamis lalu.

Essam berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Essam turut meluahkan rasa syukur dikurniakan seorang wanita hebat menjadi pasangan hidupnya.

Seperti kebanyakan pasangan berkahwin yang lain, Essam turut mendoakan agar cinta yang disemai di antara mereka akan terus mekar dengan keimanan dan bersatu hingga ke syurga.

“Alhamdulillah hidup ini indah bagi saya. Kata-kata sahaja tidak dapat menyatakan rasa syukur kerana Allah mengurniakan wanita paling hebat, permaisuriku, isteriku tercinta.

“Semoga hati kita terus terbuka untuk diisi dengan keimanan dan cinta kita melangkaui kehidupan yang sementara ini agar jiwa dapat bersatu ke pintu syurga,” tulisnya.

Sementara itu, Nina di Instastory miliknya turut melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada semua yang mendoakan serta memberi sokongan kepada mereka berdua.

Perjalanan ini benar-benar luar biasa sebab Allah sentiasa memberi kita apa yang diperlukan dalam kehidupan pada masa yang tepat.

“Terima kasih kepada semua yang memberikan doa, rasa cinta dan sokongan buat kami berdua.

“Kami bersyukur kepada Allah dan semoga Allah merahmati anda semua dengan rahmat yang tidak terhingga, cinta, perlindungan di dunia dan akhirat,” katanya.

Pada malam Khamis, Nina memaklumkan selamat mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Essam yang dipercayai berlangsung di Amerika Syarikat.

Nina turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas doa orang ramai buatnya dan suami.

Majlis pernikahan pasangan itu diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri kaum keluarga dan sahabat terdekat.

Nina juga memaklumkan mereka akan mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur dalam masa terdekat secara tertutup bagi meraikan perkahwinan mereka.

Siapakah jejaka yang menawan hati pemilik nama Shazrina Azman ini? Berikut adalah info mengenai Essam:

1-Essam merupakan penyanyi rap kacukan Mahgribi dan Amerika Syarikat berasal dari Seattle, Amerika Syarikat (AS).

2-Essam memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media & Komunikasi, Universityof Washington Bothell dan bergraduasi pada tahun 2016.

3-Mula menulis puisi pada usia lapan tahun, Essam memulakan karier dalam bidang seni selepas melancarkan video pertamanya, West My Home pada Mei 2016.

4-Menurut Genius.com, kebanyakan karya Essam adalah diinspirasikan daripada ibunya.

5-Penyanyi ini menjalankan dakwah bagi komuniti Muslim di AS, Kanada, Sepanyol dan Belanda.

6-Essam Muhammad telah mengeluarkan dua album, 12.12 pada 2018 dan Chapter20six pada 2020.

7-Videonya, Runnin pernah dipilih untuk pameran American Muslim Futures, galeri kerja dalam talian yang menggandingkan kreativiti visual art sekali gus memberi gambaran situasi Muslim Amerika.

8-Terbaru, Essam muncul berlakon dalam filem Purple Don’t Cry yang mengisahkan komuniti Islam yang cuba melindungi generasi mudanya.

Kelihatan warganet Malaysia mula membanjiri ruangan komen Instagram Essam.

Rata-rata memberikan ucapan tahniah atas perkahwinan penyanyi itu dengan Mizz Nina dan menitipkan doa kebahagiaan.

Untuk rekod, Nina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Noh Salleh pada 2 Julai 2011 namun mengumumkan penceraian pada 4 Ogos tahun lalu.

Mereka memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Musa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *